Abdul Farid Alias (dua dari kiri) dan Matthew Driver (tiga dari kanan)
melancarkan kad kredit MasterCard Ikhwan Kad-I sambil disaksikan Ismee
Ismail (kanan) dan Muzaffar Hisham (dua dari kanan) di Kuala Lumpur,
semalam.
KUALA LUMPUR 17 Jun - Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) menyasarkan sebanyak 15,000 pemegang kad kredit MasterCard Ikhwan Kad-i yang merupakan kad kredit pertama menawarkan peluang memenangi pakej umrah di samping beberapa kelebihan lain. Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd., Muzaffar Hisham berkata, ketika ini Maybank Islamic mempunyai kira-kira 110,000 pemegang kad kredit dan yakin sasaran itu mampu dicapai dalam tempoh tahun pertama selepas pelancarannya. Menurutnya, kad kredit MasterCard Ikhwan Kad-i membolehkan pemegang kad yang layak memenangi pakej umrah dengan hanya perbelanjaan minimum RM200 dalam satu resit tunggal.
Tambahnya, pemegang kad juga berpeluang untuk mendapatkan mata ganjaran pada semua transaksi runcit dalam dan luar negara, di samping lima peratus rebat wang tunai pada hujung minggu ke atas petrol dan barangan runcit, tanpa yuran tahunan dan caj berganda bulanan. ''Sejajar dengan misi mereka Menginsankan Perkhidmatan Kewangan, pemegang kad ini memberikan peluang untuk menyumbang kepada mereka yang kurang bernasib baik.
''MasterCard Ikhwan Kad-i ini merupakan kad kredit Islam pertama yang menawarkan hadiah pakej umrah untuk dimenangi setiap minggu dan pengguna juga berpeluang memberi sumbangan kepada badan kebajikan pada setiap transaksi," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran kad kredit MasterCard Ikhwan Kad-i di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail dan Presiden Asia Tenggara MasterCard Worldwide, Matthew Driver.
Tambah Muzaffar, ini merupakan kali pertama Maybank Islamic bekerjasama dengan MasterCard dan menurutnya usaha sama ini penting dalam menyokong Malaysia sebagai hab utama bagi kewangan Islam. Dalam majlis yang sama Maybank Islamic yang juga merupakan Sahabat Korporat Tabung Haji turut menyampaikan sejumlah 28,000 sumbangan beg dan sejadah bernilai RM1.5 juta kepada jemaah haji tahun ini.
sumber dari : http://utusan.com.my/
Oleh NABILA YASMIN RAZIB
No comments:
Post a Comment