Gambar Hiasan.
SAYA tidak sangka hidup berakhir sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Saya ditempatkan di rumah perlindungan ini sejak beberapa bulan lepas. Tujuan saya ke Malaysia adalah untuk cari pekerjaan.
Saya hidup susah di Indonesia. Saya lari dari rumah ketika umur 16 tahun dan bertemu kawan yang berjanji akan bawa saya jumpa agensi pekerjaan di Malaysia. Ketika itu, saya memang kerap mendengar cerita kawan-kawan yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia. Mereka boleh kirim duit banyak kepada keluarga di kampung.
Ada juga yang baru balik dari Malaysia selepas tiga tahun bekerja di sebuah kilang di Malaysia. Mendengar cerita itu saya jadi bersemangat untuk pergi ke Malaysia. Soal umur mereka kata tidak jadi masalah kerana boleh ditipu dalam dokumen dan itu semua akan diuruskan oleh ejen.
Ketika bertemu ejen, saya tidak dikehendaki membayar apa-apa kerana kata mereka, bayaran akan dipotong daripada gaji saya selepas saya mendapat pekerjaan kelak. Saya lega dan gembira dengan janji ejen itu. Apa yang saya tahu saya nak segera lari dari kemiskinan.
Ejen pekerjaan menjanjikan gaji lumayan jika bekerja di luar negara. Ketika itu saya tidak tahu akan dibawa ke negara mana sebab saya tidak peduli lagi. Asalkan saya dapat lari dari kemiskinan.
Sebaik dimaklumkan Malaysia, saya jadi lega sebab saya tahu kawan-kawan yang bekerja di sini kebanyakannya gembira.
Sampai di Klang, saya bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM600 sebulan iaitu kira-kira dua juta rupiah. Pada awalnya majikan saya baik, tapi lama kelamaan layanan majikan bertambah teruk. Selama empat tahun saya tidak dibayar gaji langsung.
Saya juga pernah dipukul, didera dan dikurung dalam stor tanpa diberikan makanan. Saya juga dapat tahu akan diserahkan kepada majikan lain di Thailand. Disebabkan takut, saya melarikan diri ke balai polis dan diselamatkan kerajaan Malaysia.
Sekarang saya takut nak keluar dari pusat perlindungan ini. Saya hanya minta dihantar balik ke Indonesia. Saya rindukan keluarga dan rasa bersalah kepada ibu bapa. Akibat tergoda gaji tinggi dan kehidupan lebih baik, saya akhirnya tertipu dan pulang dengan tangan kosong.
Surya, 20, Indonesia
sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
Wartawan Sinar Harian
No comments:
Post a Comment