BUKIT MERTAJAM – Seramai 1.25 juta peminjam yang gagal
membuat bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) telah disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit
Berpusat (CCRIS).
Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata peminjam tegar
itu bukan sahaja disenaraikan dalam CCRIS oleh PTPTN malah oleh pelbagai
institusi kewangan lain.
“Ada peminjam PTPTN itu turut gagal membayar hutang dengan institusi kewangan lain.
“Sebenarnya CCRIS bukan bertujuan menyenarai hitam nama peminjam,
sebaliknya untuk kemudahan institusi kewangan lain melihat rekod
peminjam untuk urusan kredit,” katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Majlis Pelancaran Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i)
Plus, di sini semalam.
Beliau berkata pihaknya mula menyenaraikan peminjam tegar ke dalam
sistem maklumat itu secara berperingkat sejak 16 Jun tahun lepas yang
bertujuan menggalakkan peminjam supaya lebih berdisiplin dan
bertanggungjawab dalam membayar balik pinjaman.
Katanya, peminjam yang mempunyai rekod pembayaran buruk berisiko
sukar memperoleh kelulusan pinjaman dari semua institusi kewangan,
termasuk bagi permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan dan
kenderaan.
Dalam perkembangan lain, Shamsul Anuar berkata PTPTN menyasarkan RM2
bilion didepositkan ke dalam produk baharunya SSPN-i Plus, yang
diperkenalkan sejak Jun tahun lepas, menjelang tahun 2020.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 7,237 akaun SSPN-i Plus telah
dibuka membabitkan nilai deposit RM534,000 dan menjangkakan 30,000 akaun
lagi akan dibuka sehingga hujung tahun ini.
Katanya pendeposit yang menyimpan dalam SSPN-i Plus boleh memilih
pelbagai pakej dengan cara potongan gaji termasuk pakej serendah RM50
sebulan berserta pelbagai kelebihan lain.
Beliau berkata sempena tahun pertama pelancaran SSPN-i Plus, PTPTN
turut menganjurkan cabutan bertuah kepada pendeposit dengan tawaran
hadiah berupa sebuah apartment bernilai RM500,000, kereta BMW dan Honda
CRV serta barangan lain bernilai kira-kira RM3 juta.
SSPN-i Plus adalah pelan simpanan terbaik yang menggabungkan simpanan
pendidikan dan pakej perlindungan takaful yang murah dan komprehensif. –
BERNAMA/mynewshub.cc/
No comments:
Post a Comment