JITRA – Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik sebuah bank
di Pekan Jitra I di sini diletupkan awal pagi tadi sebelum wang tunai
dianggarkan bernilai lebih RM300,000 dilarikan.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt Abd Rahim Abdullah berkata
berdasarkan rakaman kamera litar tertutup, kejadian berlaku kira-kira
5.04 minit pagi yang disyaki dilakukan dua individu memakai topeng serta
menaiki kereta Toyota Camry.
“Suspek dipercayai menggunakan bom paip sepanjang satu kaki
dengan ukur lilit lima inci serta diameter sepanjang satu setengah kaki.
“Ia dilakukan dengan cara menyelitkan bom berkenaan di tempat
khas pengeluaran duit di ATM tersebut setelah mengopak bahagian atas
dan bawah mesin dengan menggunakan besi,” katanya kepada pemberita di
sini hari ini.
Polis turut menemui serpihan bom paip sepanjang setengah kaki dan wang tunai RM600 yang bertaburan di atas lantai.
Letupan turut menyebabkan cermin bank pecah dan retak.
Abd Rahim berkata pihak polis percaya kes itu sama dengan kes
meletupkan mesin ATM sebuah bank di Simpang Kuala, Alor Setar pada
Februari lepas yang turut mengakibatkan kerugian RM300,000.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Devi, 40-an berkata
beliau mendengar bunyi letupan yang sangat kuat dari kedainya yang
terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.
“Saya sangka orang tembak anjing. Bunyi letupan sangat kuat dan mengejutkan kami semua,” katanya. – BERNAMA/mynewshub.cc/
No comments:
Post a Comment