Tuesday 25 April 2017

"Angkara rakan, saya muflis"

PINJAMAN PERIBADI UNTUK KAKITANGAN KERAJAAN dan BADAN BERKANUN. MELALUI KOPERASI dan BANK. POTONGAN MELALUI BIRO PERKHIDMATAN ANGKASA. BERMINAT HUBUNGI SMS/WHATSAPP +6018-9161 554 (abgdin)

KUALA BERANG - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Demikianlah nasib seorang penghidap kanser paru-paru, di sini yang sukar menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan awam selepas namanya disenarai hitam akibat menjadi penjamin pinjaman kenderaan.

Othman Ali, 58, dari Rumah Murah Sungai Petai berkata,  dia sudah membuat permohonan pencen lebih awal setelah disahkan menghidap barah Mac 2015 namun tidak diluluskan ekoran namanya telah diisytiharkan muflis.

“Sekitar tahun 1990-an lalu, atas dasar persahabatan dan kepercayaan saya menjadi penjamin kepada seorang rakan bagi tujuan pembelian kereta. Namun, gara-gara kegagalannya membuat pembayaran saya menerima akibatnya.

“Saya hanya mengetahui nama disenarai hitam ketika ingin membuat pinjaman di sebuah bank selain nama turut dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan. Saya telahpun berjumpa pihak berkaitan tetapi tiada jalan penyelesaian.

“Saya juga beri kebenaran melunaskan hutang melalui potongan gaji setiap bulan tetapi tidak dapat dilakukan dengan alasan saya telah diisytiharkan muflis.

“Sudahlah tidak dapat bersara awal biarpun saya tidak mampu lagi berkhidmat, difahamkan juga imbuhan selepas tamat perkhidmatan juga tiada kelak,” katanya.

Tambah Othman, dia buntu menyediakan wang RM19,000 bagi melunaskan hutang rakannya yang mengakibatkan namanya disenarai hitam sedangkan dia kini bergelut melawan penyakit kanser paru-paru tahap tiga dihidapinya.

Katanya lagi, sudah dua tahun dia cuti bergaji bagi mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan tempoh cuti itu sudah tamat pada 29 Mac lalu dan buat masa ini dia mengambil cuti sakit yang hanya boleh dipohon selama tiga bulan.

“Sejak menghidap penyakit ini, saya sudah melalui enam kali sesi kemoterapi dan 36 radioterapi. Bermula esok (hari ini), saya dijadualkan melakukan sesi kedua kemoterapi sebanyak 12 kali.

“Saya akan tinggal seminggu di HUSM sepanjang rawatan dan mahu atau tidak kos sampingan termasuk makan minum mencecah RM300. Pastinya rawatan ini akan dilakukan berterusan.

Ujar bapa kepada 10 anak ini lagi, dia memulakan perkhidmatan di sektor awam sejak tahun 1978 dulu dan dengan tahap kesihatan yang semakin merosot dia ingin segera menamatkan perkhidmatannya.

“Saya merayu agar pihak berkenaan dapat membantu selesaikan masalah ini, saya sudah tidak mampu lagi meneruskan tugas sebagai penjawat awam.

“Saya harap segala kisah dikongsikan ini dapat dijadikan ikhtibar supaya tidak sewenang-wenangnya menjadi penjamin hingga menjerat diri sendiri. Atas dasar persahabatan saya jadi penjamin, kini saya terpaksa tanggung akibatnya.

“Saya juga telah tawar hati untuk berbincang dengan rakan saya itu setelah luahan saya sewaktu perjumpaan beberapa kali sebelum ini langsung tidak diendahkannya. Dia juga turut berdolak-dalih, mahu atau tidak saya perlu ada RM19,000 secara tunai,” ujarnya.

sumber : sinarharian.com.my

No comments: