Monday, 31 March 2014

Sasar jana RM3.8b setiap tahun

 
NAJIB (empat dari kanan) melihat model Pelan Induk Pembangunan Perdana Quay sambil diperhatikan oleh Mukhriz (tiga dari kanan) dan Dr. Mahathir (dua dari kanan) di Langkawi, Kedah semalam.

LANGKAWI - Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Pelan Induk Pembangunan Perdana Quay di Teluk Burau di sini semalam. 

Perdana Menteri melahirkan harapan untuk melihat tiga juta pelancong mengunjungi Langkawi setiap tahun dan menyumbang RM3.8 bilion kepada ekonomi.

Beliau berkata, pelancongan adalah elemen utama Program Transformasi Ekonomi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

"Saya mahu melihat ketibaan tiga juta pelancong ke pulau ini setiap tahun, membawa RM3.8 bilion kepada ekonomi dan melahirkan sekurang-kurangnya 4,200 pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia," kata beliau semasa pelancaran itu pelan induk tersebut.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo

Sunday, 30 March 2014

Nilai komersial perbankan Islam

KADAR penembusan perbankan Islam di negara ini dijangka meningkat kepada 25 peratus.

APAKAH pencapaian sistem perbankan Islam di Malaysia? Sistem kewangan Islam kini dilihat sebagai satu komponen yang berdaya maju dan teguh dalam keseluruhan sistem kewangan negara. Hal ini dapat dilihat melalui kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan. Selain itu, kadar pertumbuhan aset kewangan Islam memberangsangkan saban tahun juga merupakan satu petanda positif sektor perbankan ini.

Secara tradisinya, institusi kewangan Islam seringkali merujuk kepada institusi zakat dan Baitulmal. Namun, seiring era globalisasi dan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan umat Islam, institusi kewangan Islam seperti institusi perbankan, pengendali takaful dan pengurusan dana Islam ditubuhkan dan berkembang dengan pesatnya.

Perkembangan ini jelas dilihat bukan hanya di negara bilangan penganut agama Islam lebih banyak, bahkan di negara-negara yang majoriti rakyatnya adalah bukan beragama Islam.

Di negara kita, walaupun usia industri kewangan Islam baru mencecah 31 tahun jika dibandingkan dengan model perbankan konvensional yang wujud sebelum Masihi, aset kewangan Islam sudah mencecah 23.8 peratus daripada jumlah aset dalam keseluruhan sistem perbankan.

Kadar penembusan perbankan Islam dijangka meningkat kepada 25 peratus berbanding dengan perbankan konvensional.Maka, tidak hairanlah Malaysia pada hari ini diiktiraf sebagai peneraju kewangan Islam di dunia bukan hanya daripada sudut jumlah institusi perbankan Islam dan saiz asetnya tetapi juga merangkumi produk kewangan Islam yang lain terutamanya penawaran produk takaful dan pasaran modal Islam seperti sukuk.

Apakah beza perbankan Islam di Malaysia dengan negara-negara lain?Berbeza dengan negara-negara yang berusaha menjadi hab kepada kewangan Islam terutamanya negara-negara teluk yang masih dalam proses mewujudkan kerangka undang-undang dan urus tadbir kewangan Islam, Malaysia dilihat mempunyai kerangka undang-undang kewangan Islam yang terbaik.

Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) yang telah digazet, memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri kewangan Islam tentang keutuhan dan kestabilan industri kewangan Islam di negara kita.

Di peringkat antarabangsa, setakat tahun 2012, jumlah aset kewangan Islam di peringkat global kini telah mencecah sehingga AS$1.329 trilion (RM4.39 trilion).

Walaupun industri perbankan Islam kini hanya menunjukkan 1.6 peratus daripada keseluruhan jumlah aset 50 bank terbesar dunia (yang berjumlah RM218.77 trilion), pencapaian industri perbankan Islam berada pada tahap yang membanggakan berdasarkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 21.1 peratus dari tahun 2007 hingga tahun 2011.

Kesemua angka yang merujuk kepada pertumbuhan ini diperoleh oleh industri perbankan Islam ketika aset kewangan global menurun ekoran krisis ekonomi global.

PURATA pertumbuhan tahunan industri perbankan Islam di seluruh dunia ialah 21.1 peratus dari tahun 2007 hingga tahun 2011.

Apakah perbezaan perbankan konvensional dan Islam? Jika dibandingkan aktiviti utama perbankan konvensional dan perbankan Islam, ianya tidak jauh berbeza. Ini kerana kedua-dua institusi perbankan ini menguruskan liabiliti seperti deposit dan dana pemegang saham bank selain mengurus dan mengembangkan aset kewangan masing-masing. Perbezaan nyata ialah kerangka urus tadbir syariah (KUS) yang menjadi nadi sesebuah institusi kewangan Islam.

Sesebuah institusi kewangan Islam mengintegrasikan kehendak dan keperluan KUS dalam keseluruhan kerangka urus tadbir korporat yang diamalkan oleh institusi tersebut. KUS adalah perkara terpenting bagi memastikan keseluruhan operasi sesebuah perbankan Islam itu benar-benar menepati kehendak syarak dan pada masa yang sama memelihara keyakinan ummah terhadap status produk dan perkhidmatan institusi perbankan Islam.

Apakah peranan jawatankuasa syariah? Di bawah KUS, sesebuah institusi perbankan Islam perlu menubuhkan jawatankuasa penasihat syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya lima orang pakar syariah dan kewangan Islam untuk memberikan khidmat nasihat dalam pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam.

Jawatankuasa ini bukan hanya terlibat dalam proses sebelum sesebuah produk kewangan dilancarkan (pre execution stage) tetapi juga bertanggungjawab untuk mengaudit peringkat selepas penawaran sesuatu produk (post execution stage).

Disebabkan tanggungjawab jawatankuasa ini berat, institusi perbankan Islam diwajibkan oleh pihak Bank Negara untuk menubuhkan jabatan Syariah yang berfungsi untuk membantu jawatankuasa Syariah dari sudut melakukan penyelidikan syariah berkaitan isu-isu perbankan, di samping melaksanakan penilaian dan audit syariah.

Apakah peranan dan potensi sistem perbankan Islam di Malaysia? Di samping mewujudkan sistem perbankan alternatif kepada masyarakat dengan bebas daripada elemen-elemen yang diharamkan di dalam ajaran Islam seperti faedah (riba), ketidakjelasan (gharar) dan perjudian (maysir), sistem perbankan Islam telah membuktikan bahawa ia mampu menjadi suatu usul komersial yang berdaya maju.

Menjadi suatu kewajipan juga untuk masyarakat mempromosi dan menyokong sistem perbankan Islam di negara kita. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba."

Walaupun perkembangan perbankan Islam di Malaysia sudah sampai ke tahap yang membanggakan, tahap kesedaran dan pengetahuan umat Islam terhadap aspek muamalat Islam dan produk perbankan Islam masih banyak yang boleh diperbaiki. Ini kerana masih wujud segelintir masyarakat yang langsung tidak mengendahkan kewujudan solusi kewangan Islam di negara ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/

Cerita aneh 'penumpang MH370'

Philip Wood

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY 

SHAH ALAM – Cerita Philip Wood, seorang eksekutif syarikat komputer IBM yang juga penumpang MH370, yang dikatakan telah menghantar mesej secara rahsia mendakwa pesawat itu dirampas pihak tertentu dan dia kini ditahan di sebuah pangkalan tentera, tidak harus dipercayai.

Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata, dakwaan itu hanya satu usaha memburukkan Malaysia oleh pihak yang mahu masyarakat antarabangsa mempercayai bahawa kerajaan negara ini menyembunyikan maklumat apa yang didakwa sebagai fakta sebenar di sebalik kehilangan MH370.

"Mesej itu dibuat oleh orang. Mustahil dalam tempoh 22 hari, dengan begitu banyak negara terlibat dalam usaha mencari secara besar-besaran, perkara ini boleh disimpan sebagai rahsia. Bagi saya, ini tidak logik. Media asing sengaja membesarkannya sebagai berita sensasi untuk memburukkan imej Malaysia," katanya.

Dalam mesej internet bertarikh 19 Mac lalu, pengirim yang mengaku dirinya 'Philip Wood' itu mendakwa mereka ditahan sepasukan anggota tentera selepas pesawat MH370 dirampas.
'Wood' mendakwa ketika rampasan itu, matanya ditutup dan dia percaya, telah diberikan dadah oleh perampas.


Apa yang lebih mengejutkan, pengirim mesej itu juga mendakwa dia dan penumpang lain ditahan di Pulau Diego Garcia di mana dia ditempatkan dalam sel yang berasingan daripada penumpang lain.
"Saya menyembunyikan telefon di dalam dubur, membolehkan saya menghantar mesej ini," tulis 'Wood'.


'Wood' yang nama itu sememangnya direkodkan sebagai seorang daripada 227 penumpang MH370, rakyat Amerika Syarikat dan merupakan eksekutif kanan IBM berpangkalan di Beijing
sejak dua tahun lalu, menyertai penerbangan MH370 dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan kerjanya di negara ini.


Dia juga memuat naik gambar profilnya yang setelah dikaji, menggunakan perisian tertentu dirakam di Diego Garcia bertarikh 18 Mac 2014.


Orang ramai turut memberi reaksi terhadap mesej yang diragui itu malah, ada yang menganggap tidak masuk akal.

sumber dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/semasa/