KADAR penembusan perbankan Islam di negara ini dijangka meningkat kepada 25 peratus.
APAKAH pencapaian sistem perbankan Islam di Malaysia? Sistem kewangan Islam kini dilihat sebagai satu komponen yang berdaya maju dan teguh dalam keseluruhan sistem kewangan negara. Hal ini dapat dilihat melalui kepelbagaian produk dan perkhidmatan
yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam yang semakin mendapat
tempat dalam kalangan masyarakat tempatan. Selain itu, kadar pertumbuhan
aset kewangan Islam memberangsangkan saban tahun juga merupakan satu
petanda positif sektor perbankan ini.
Secara tradisinya, institusi kewangan Islam seringkali merujuk kepada
institusi zakat dan Baitulmal. Namun, seiring era globalisasi dan
kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan umat Islam, institusi
kewangan Islam seperti institusi perbankan, pengendali takaful dan
pengurusan dana Islam ditubuhkan dan berkembang dengan pesatnya.
Perkembangan ini jelas dilihat bukan hanya di negara bilangan
penganut agama Islam lebih banyak, bahkan di negara-negara yang majoriti
rakyatnya adalah bukan beragama Islam.
Di negara kita, walaupun usia industri kewangan Islam baru mencecah
31 tahun jika dibandingkan dengan model perbankan konvensional yang
wujud sebelum Masihi, aset kewangan Islam sudah mencecah 23.8 peratus
daripada jumlah aset dalam keseluruhan sistem perbankan.
Kadar penembusan perbankan Islam dijangka meningkat kepada 25 peratus berbanding dengan perbankan konvensional.Maka, tidak hairanlah Malaysia pada hari ini diiktiraf sebagai
peneraju kewangan Islam di dunia bukan hanya daripada sudut jumlah
institusi perbankan Islam dan saiz asetnya tetapi juga merangkumi produk
kewangan Islam yang lain terutamanya penawaran produk takaful dan
pasaran modal Islam seperti sukuk.
Apakah beza perbankan Islam di Malaysia dengan negara-negara lain?Berbeza dengan negara-negara yang berusaha menjadi hab kepada
kewangan Islam terutamanya negara-negara teluk yang masih dalam proses
mewujudkan kerangka undang-undang dan urus tadbir kewangan Islam,
Malaysia dilihat mempunyai kerangka undang-undang kewangan Islam yang
terbaik.
Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013) yang telah digazet,
memberi keyakinan kepada pelabur dan pemain industri kewangan Islam
tentang keutuhan dan kestabilan industri kewangan Islam di negara kita.
Di peringkat antarabangsa, setakat tahun 2012, jumlah aset kewangan
Islam di peringkat global kini telah mencecah sehingga AS$1.329 trilion
(RM4.39 trilion).
Walaupun industri perbankan Islam kini hanya menunjukkan 1.6 peratus
daripada keseluruhan jumlah aset 50 bank terbesar dunia (yang berjumlah
RM218.77 trilion), pencapaian industri perbankan Islam berada pada tahap
yang membanggakan berdasarkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 21.1
peratus dari tahun 2007 hingga tahun 2011.
Kesemua angka yang merujuk kepada pertumbuhan ini diperoleh oleh
industri perbankan Islam ketika aset kewangan global menurun ekoran
krisis ekonomi global.
Apakah perbezaan perbankan konvensional dan Islam? Jika dibandingkan aktiviti utama perbankan konvensional dan perbankan
Islam, ianya tidak jauh berbeza. Ini kerana kedua-dua institusi
perbankan ini menguruskan liabiliti seperti deposit dan dana pemegang
saham bank selain mengurus dan mengembangkan aset kewangan
masing-masing. Perbezaan nyata ialah kerangka urus tadbir syariah (KUS)
yang menjadi nadi sesebuah institusi kewangan Islam.
Sesebuah institusi kewangan Islam mengintegrasikan kehendak dan
keperluan KUS dalam keseluruhan kerangka urus tadbir korporat yang
diamalkan oleh institusi tersebut. KUS adalah perkara terpenting bagi memastikan keseluruhan operasi
sesebuah perbankan Islam itu benar-benar menepati kehendak syarak dan
pada masa yang sama memelihara keyakinan ummah terhadap status produk
dan perkhidmatan institusi perbankan Islam.
Apakah peranan jawatankuasa syariah? Di bawah KUS, sesebuah institusi perbankan Islam perlu menubuhkan
jawatankuasa penasihat syariah yang terdiri daripada sekurang-kurangnya
lima orang pakar syariah dan kewangan Islam untuk memberikan khidmat
nasihat dalam pembangunan produk dan perkhidmatan kewangan Islam.
Jawatankuasa ini bukan hanya terlibat dalam proses sebelum sesebuah
produk kewangan dilancarkan (pre execution stage) tetapi juga
bertanggungjawab untuk mengaudit peringkat selepas penawaran sesuatu
produk (post execution stage).
Disebabkan tanggungjawab jawatankuasa ini berat, institusi perbankan
Islam diwajibkan oleh pihak Bank Negara untuk menubuhkan jabatan Syariah
yang berfungsi untuk membantu jawatankuasa Syariah dari sudut melakukan
penyelidikan syariah berkaitan isu-isu perbankan, di samping
melaksanakan penilaian dan audit syariah.
Apakah peranan dan potensi sistem perbankan Islam di Malaysia? Di samping mewujudkan sistem perbankan alternatif kepada masyarakat
dengan bebas daripada elemen-elemen yang diharamkan di dalam ajaran
Islam seperti faedah (riba), ketidakjelasan (gharar) dan perjudian
(maysir), sistem perbankan Islam telah membuktikan bahawa ia mampu
menjadi suatu usul komersial yang berdaya maju.
Menjadi suatu kewajipan juga untuk masyarakat mempromosi dan menyokong sistem perbankan Islam di negara kita. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud: "Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba."
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/
No comments:
Post a Comment