Mohd Zawawi
PELAKSANAAN cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai
April 2015 tidak dinafikan mewujudkan kebimbangan dalam kalangan pemaju
hartanah di negara ini.
Pengerusi Kumpulan Sara-Timur Development Sdn Bhd, Datuk Dr Ir Mohd
Zawawi Ismail berkata, pihaknya tidak menolak pelaksanaan cukai tersebut
akan memberi kesan terhadap kenaikan harga rumah.
“Apa yang menjadi kebimbangan kami adalah kemampuan pembeli terutama
Bumiputera. Jika kita lihat graf kenaikan gaji tidak seimbang dengan
kenaikan kos sara hidup, tetapi pada masa sama memiliki kediaman sendiri
adalah satu keperluan.
“Pemaju juga berdepan cukai sedia ada iaitu Cukai Keuntungan Harta
Tanah (RPGT), setem duti, levi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan
Malaysia (CIDB) dan cukai perkhidmatan. Dengan pelbagai cukai ini,
akhirnya nanti, pembeli juga terpaksa menanggung segala kos bayaran,”
katanya dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian.
Menurut Mohd Zawawi, kenaikan harga rumah bukan sahaja didorong
kenaikan bahan binaan, tetapi atas beberapa faktor lain yang wujud
ekoran spekulasi yang ditimbulkan pembeli dan juga kerana permintaan
tinggi terhadap keperluan untuk memiliki rumah sendiri.
“Pemaju juga tidak dapat lari daripada kenaikan kos bahan binaan yang
didorong oleh peningkatan kos seperti logistik dan petrol,” katanya.
Katanya, persatuan dalam industri hartanah ada mencadangkan kepada
kerajaan agar sektor hartanah dikecualikan daripada GST atau peratusan
cukai tersebut dikurangkan, sekali gus dapat mewujudkan situasi
menang-menang antara pemaju dan pembeli.
Sementara itu, Sara-Timur Development menyasarkan Nilai Pembangunan
Kasar (GDV) RM1.2 bilion bagi projek pembangunan Lagenda Tunjong di
tanah seluas 16 hektar di Kota Baharu, Kelantan.
“Lagenda Tunjong merupakan pembangunan bersepadu unit kediaman,
komersial dan pejabat yang bakal menempatkan dua menara dengan 343 unit
Apartment Prima Lifestyle dengan keluasan unit antara 750 hingga 1,500
kaki persegi.
“Selain itu, mulai April atau Mei ini, sebuah pasar raya besar bakal
dibina dengan keluasan 200,000 kaki persegi ruang niaga,” katanya.
Sara-Timur Development turut memperuntukkan kira-kira RM300 juta bagi
cadangan pembinaan CheSiti Village Mall di atas tanah berkeluasan 3.6
hektar dengan 500,000 kaki persegi ruang niaga.
“Dengan mengetengahkan konsep baru ‘street mall’, CheSiti Village Mall
bakal menampilkan kelainan berbeza daripada kompleks membeli belah sedia
ada. Pembinaan dijangka bermula pada Ogos atau September depan,”
katanya.
sumber dipetik dari:-http://www.sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment