Friday 4 April 2014

YTL belanja RM2 bilion untuk lancar LTE

Kuala Lumpur: YTL Communication Sdn Bhd, anak syarikat YTL Power International Berhad optimis melancarkan perkhidmatan jalur lebar evolusi jangka panjang (LTE) tidak lama lagi.

Pihaknya ketika ini dalam proses membolehkan kemudahan itu dinikmati pengguna sedia ada dan sasaran pengguna baru.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wing K Lee berkata, setakat ini syarikat sudah mengeluarkan modal perbelanjaan (capex) sebanyak RM2 bilion bagi tujuan pembangunan infrastruktur khusus bagi LTE.

Katanya, ia adalah perbelanjaan minimum memandangkan kumpulan sudah mempunyai kelengkapan perkhidmatan jalur lebar dan platform sendiri dan tidak berdepan risiko tinggi dalam melaksanakannya.

“Perkhidmatan jalur lebar LTE ini akan berada pada kapasiti dua kali ganda berbanding sedia ada dan kita harap dapat menjadi peneraju bagi segmen ini kelak lebih-lebih lagi dalam mendekati pengguna.

“Kelebihan kami dalam melaksanakan LTE adalah dari segi kos apabila kami sudah mempunyai landasan jalur lebar 4G yang dibina beberapa tahun sebelum ini. Jadi ia tidak terlalu berat dan memudahkan syarikat dalam meneroka segmen baru,” katanya kepada Bisnes Metro selepas melancarkan peraduan #YesToRio di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif YTL Communications Datuk Yeoh Soo Keng dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Jacob Yeoh Keong Yeow.

Beliau berkata, selain fokus menawarkan produk kompetitif ke pasaran, syarikat turut sama mahu melebarkan operasi dari segi perkhidmatan kepada pengguna.

“Ketika ini kami mempunyai 10 cawangan perkhidmatan pelanggan Yes dan kami sasarkan pembukaan lebih banyak operasinya. Apabila tiba masanya kelak kami akan umumkan lokasi terbabit.  Yes mempunyai lebih sejuta pengguna perkhidmatan jalur lebar dan mahu meningkatkan angka berkenaan selari dengan penerokaan segmen LTE kelak,” katanya yang enggan mengulas panjang mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, peraduan #YesToRio yang berlangsung sehingga 31 Mei ini akan membawa dua juara permainan ke Rio de Janeiro, Brazil bagi perlawanan akhir bola sepak sedunia.

sumber dipetik dari:-

No comments: