Friday 4 April 2014

Jakim peruntuk lebih RM348 juta

Jakim Peruntukkan lebih RM 348 juta
Datuk Seri Jamil Khir Baharom  

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memperuntukkan lebih RM348 juta bagi belanja mengurus Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa ) di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.014 juta digunakan untuk bantuan latihan guru dan pembelian alat bantu mengajar.

"Sehingga kini, terdapat 32,618 guru Kafa telah dilantik di seluruh negara bagi menjalankan tugas mengajar Fardhu Ain kepada murid-murid sekolah," katanya kepada pemberita  selepas merasmikan Multaqa Guru-Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kafa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Pusat Islam Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 657 guru Kafa dan 56 guru SRA yang mengikat kontrak setiap dua tahun sekali, mendapat 'durian runtuh' sebanyak RM500 seorang sebagai penghargaan daripada Jakim.

Jumlah keseluruhan peruntukan bagi pemberian elaun tersebut sebanyak RM356,500 dan akan dinikmati oleh penerima selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Jamil berkata jumlah prasarana dan bilangan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) adalah mencukupi di seluruh negara.

Beliau berkata walaupun prasarana kadangkala menjadi antara cabaran utama di sesuatu tempat, namun perkara itu dapat diatasi hasil kerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan yang membenarkan sekolah-sekolah diguna bagi tujuan itu.

"Selain sekolah, ada premis-premis tertentu seperti masjid turut digunakan bagi pembukaan kelas Kafa di sesetengah tempat.

"Kalau ada pertambahan kelas, kita juga akan tambah bilangan guru. Jadi tak timbul sangatlah kekangan tentang ketidakcukupan tenaga pengajar," katanya.

Selain itu, katanya siri jelajah Jakim di seluruh negara yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu bertujuan memberi kefahaman kepada guru Kafa dan SRA bahawa tugas dan tanggungjawab agama diberi perhatian serius di peringkat kerajaan persekutuan.

"Kita nak perjelaskan kerajaan persekutuan serius nak membantu guru Kafa walaupun pentadbiran agama di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Mereka (guru Kafa) sering melihat bantuan yang diberi datang daripada kerajaan negeri, padahal ia sebenarnya dari kerajaan persekutuan," katanya. - Bernama

sumber dipetik dari:- http://www.sinarharian.com.my/

No comments: