Thursday 3 April 2014

PM lancar 10 bilion unit ASB 2

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan dana Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) yang diuruskan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan saiz dana berjumlah 10 bilion unit di sini semalam.

Dana tersebut berharga tetap RM1 seunit ditawarkan kepada bumiputera berumur seawal enam bulan dengan pelaburan permulaan dan tambahan minimum sebanyak 10 unit.

Ia disasarkan kepada golongan menengah dan generasi Y berumur antara 19 hingga 34 tahun serta pemegang unit ASB mencapai had pelaburan maksimum sebanyak 200,000 unit.

Najib berkata, usaha tersebut merupakan satu daripada lima strategi pemerkasaan ekonomi bumiputera iaitu memperkaya modal insan, memantap ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan aset bukan kewangan bumiputera, memperhebat keusahawan dan perniagaan bumiputera serta memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

“ASB 2 dilancarkan bagi memantapkan pemilikan pegangan saham bumiputera dalam sektor korporat. “Kedua, pemilikan ekuiti boleh dilihat daripada sudut individu, bagaimana pemilikan saham dan unit saham amanah boleh membantu menjamin masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran ASB 2 di pekarangan Stadium Merdeka di sini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo

No comments: