Saturday 5 April 2014

Langkah bijak jana keuntungan

Kuala Lumpur: Situasi mendiami bangunan komersial atau rumah kedai bukanlah sesuatu yang biasa untuk kita memandangkan ia adalah premis yang dibina untuk operasi perniagaan atau ruang pejabat.

Namun, dalam konsep pelaburan bangunan komersial, mendiami bangunan komersial adalah satu langkah bijak yang mampu menjana keuntungan dalam masa sama membantu mengurangkan kos sara hidup pelabur.

Penasihat Kewangan Hijrah Wealth Management Sdn Bhd (Hijrah Wealth) Rohani Mohd Shahir berkata, situasi ini mungkin boleh dilakukan oleh golongan muda yang belum berkahwin dan memiliki rumah.

Beliau berkata, golongan muda seharusnya mempunyai jiwa keusahawanan dan menjadi pelabur yang bijak sekiranya mereka berminat untuk melabur dalam hartanah komersial.

“Jika mereka mempunyai mentaliti tidak kisah untuk mendiami tingkat atas yang mana bawahnya kedai ia adalah sesuatu yang bijak kerana mereka boleh menjana pendapatan sekali gus tidak perlu memikirkan untuk menyewa rumah atau membayar pembiayaan perumahan.

“Ruang perniagaan di bawah juga boleh dipelbagaikan yang mana pelabur boleh menyewakan satu ruang besar kepada dua atau tiga peniaga seperti yang kita lihat banyak dilakukan oleh pemilik premis perniagaan hari ini,” katanya kepada Bisnes Metro.
Rohani berkata, pelaburan adalah sesuatu yang digalakkan terutama kepada golongan muda dan pelaburan dalam bentuk hartanah komersial mempunyai pulangan yang tinggi sekiranya mereka bijak mengatur strategi.

“Walaupun harga rumah kedai di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru atau Pulau Pinang dilihat begitu tinggi jualannya namun, pelabur muda boleh membeli premis perniagaan ini di kawasan luar bandar atau aset lelong dengan harga lebih rendah.

“Untuk jadi pelabur yang berjaya di usia muda, kita perlu tinggalkan seketika rasa selesa dan bergaya kerana pendapatan pelaburan dalam hartanah komersial ini memberi tabungan yang tinggi untuk jangka masa panjang,” katanya.

sumber dipetik dari:-http://www.hmetro.com.my/

No comments: