Monday, 26 May 2014

Koperasi beri manfaat kepada penjawat awam


ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyediakan koperasi kredit untuk mengurangkan dan menghapuskan pinjaman wang daripada ceti atau syarikat pinjaman tidak berlesen oleh penjawat awam.

Timbalan Presidennya, Mutadho Bhari berkata, kemajuan dan pencapaian koperasi kredit di Malaysia membantu penjawat awam membuat bayaran pinjaman menerusi potongan gaji dan ia lebih terjamin.

Menurutnya, pinjaman dibuat menerusi koperasi adalah lebih mudah berbanding pinjaman di bank komersil.

“Kami memberikan pinjaman sehingga RM200,000 tanpa mengenakan apa-apa cagaran dan penjamin. Mereka perlu membayar pinjaman menerusi potongan gaji yang diuruskan Angkasa.

“Pembayaran balik pinjaman melalui Angkasa akan dibuat secara telus. Oleh itu, program transformasi koperasi kredit anjuran Angkasa melakukan banyak penambahbaikan supaya semua koperasi kredit dapat memberikan perkhidmatan berkualiti dan tidak diragui,” katanya dalam temu bual dengan Sinar Harian.

Menurutnya, koperasi kredit ialah tulang belakang kepada gerakan koperasi dan ia terbuka kepada orang biasa.

“Tanpa koperasi kredit, sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil. Dengan adanya koperasi kredit banyak pencapaian dan kemajuan yang digarap oleh sektor koperasi.

“Anggota koperasi kredit lebih mudah dapat pembiayaan kewangan daripada koperasi masing-masing dengan bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan,” katanya.

Mutadho berkata, Angkasa menyediakan tiga inovasi yang dijadikan platform bagi membantu peminjam dan bakal peminjam untuk berurusan dengan koperasi kredit secara mudah iaitu pinjaman melalui dalam talian, Skim Perlindungan Koperasi Kredit (SPKK) dan Sistem Pengurusan Kredit Rating (Speakar).

Angkasa turut menyasarkan 12,000 ahli menjelang akhir tahun ini berbanding hanya 11,000 ahli pada 2013.

 “Saya mengharapkan koperasi kredit akan berterusan dan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sebanyak 12 peratus tahun ini yang dipacu oleh inovasi yang diperkenalkan,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
NORSHAHZURA MAT ZUKI

Sunday, 25 May 2014

Zizan pelawak bertaraf jutawan

Minggu lalu, riuh juga mengenai pelawak terkenal, Zizan Razak yang keluar daripada syarikat pengurusannya, Wire Fame Entertainment Sdn Bhd sebab bernaung di bawah pengurusan syarikat yang lebih besar iaitu Astro. Syarikat lama itu adalah syarikat beliau sendiri yang diwujudkan dengan rakan kongsinya, Marina Juki.

Kak Pora hairan sebab Zizan keluar daripada syarikatnya sendiri. Mungkin, dia tidak mahu lagi dibayangi dengan kekasihnya, Emma Maembong yang turut diurus Wire Fame. Namun, pemilik Wire Fame khabarnya masih lagi atas nama Zizan bersama Marina. Mungkin juga Zizan nak beralih angin dan balas jasa Astro yang mula menaikkan namanya menerusi program Raja Lawak dulu.

Eksport udang tinggi

Irmohizam (duduk, kiri) melepaskan benih udang ke dalam Kolam Ternakan Udang LKIM di Telaga Air, Sarawak.

HASIL ternakan udang Malaysia mendapat permintaan eksport tinggi dari negara-negara Eropah dan Timur Tengah.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, permintaan tinggi ini dapat memberikan golongan nelayan nilai tambah ekonomi bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“LKIM menggalakkan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) mengambil inisiatif mewujudkan taman akuakultur khususnya ternakan udang demi memenuhi permintaan itu.

“Ketika menghadiri Ekspo Makanan Berasaskan Laut Eropah di Brussels, Belgium baru-baru ini, saya mendapat maklum balas positif dari negara Eropah dan Timur Tengah untuk mengimport produk udang dari Malaysia," katanya selepas melepaskan benih udang ke dalam Kolam Ternakan Udang LKIM di Telaga Air, Sarawak semasa lawatannya ke negeri itu.

Menurutnya, negara Eropah dan Timur Tengah berharap Malaysia mampu mengeksport satu kontena udang setiap bulan kepada mereka.

“Selain udang, negara-negara itu turut berminat untuk mengimport ikan seperti siakap, kerapu dan tilapia selain udang harimau.

“Disebabkan itu, kerajaan menyasarkan hasil perikanan negara disumbangkan menerusi hasil laut sebanyak 50 peratus dan 50 peratus lagi daripada akuakultur dalam usaha meningkatkan industri perikanan negara,” katanya.

Projek Ternakan Udang LKIM Telaga Air bermula pada 2008 di atas tapak seluas 48.5 hektar dengan fasa pertama menelan kos RM8 juta.

Kolam itu mampu menghasilkan 700 tan udang setahun yang dieksport ke negara seperti Australia, New Zealand dan Jepun.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID