ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyediakan koperasi kredit untuk mengurangkan dan menghapuskan pinjaman wang daripada ceti atau syarikat pinjaman tidak berlesen oleh penjawat awam.
Timbalan Presidennya, Mutadho Bhari berkata, kemajuan dan pencapaian koperasi kredit di Malaysia membantu penjawat awam membuat bayaran pinjaman menerusi potongan gaji dan ia lebih terjamin.
Menurutnya, pinjaman dibuat menerusi koperasi adalah lebih mudah berbanding pinjaman di bank komersil.
“Kami memberikan pinjaman sehingga RM200,000 tanpa mengenakan apa-apa cagaran dan penjamin. Mereka perlu membayar pinjaman menerusi potongan gaji yang diuruskan Angkasa.
“Pembayaran balik pinjaman melalui Angkasa akan dibuat secara telus. Oleh itu, program transformasi koperasi kredit anjuran Angkasa melakukan banyak penambahbaikan supaya semua koperasi kredit dapat memberikan perkhidmatan berkualiti dan tidak diragui,” katanya dalam temu bual dengan Sinar Harian.
Menurutnya, koperasi kredit ialah tulang belakang kepada gerakan koperasi dan ia terbuka kepada orang biasa.
“Tanpa koperasi kredit, sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kecil. Dengan adanya koperasi kredit banyak pencapaian dan kemajuan yang digarap oleh sektor koperasi.
“Anggota koperasi kredit lebih mudah dapat pembiayaan kewangan daripada koperasi masing-masing dengan bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan,” katanya.
Mutadho berkata, Angkasa menyediakan tiga inovasi yang dijadikan platform bagi membantu peminjam dan bakal peminjam untuk berurusan dengan koperasi kredit secara mudah iaitu pinjaman melalui dalam talian, Skim Perlindungan Koperasi Kredit (SPKK) dan Sistem Pengurusan Kredit Rating (Speakar).
Angkasa turut menyasarkan 12,000 ahli menjelang akhir tahun ini berbanding hanya 11,000 ahli pada 2013.
“Saya mengharapkan koperasi kredit akan berterusan dan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sebanyak 12 peratus tahun ini yang dipacu oleh inovasi yang diperkenalkan,” katanya.
sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
NORSHAHZURA MAT ZUKI
No comments:
Post a Comment