Friday 30 May 2014

DRB-Hicom catat hasil RM14.2 bilion

Menurut DRB-Hicom, perniagaan automotif lebih mencabar menyebabkan penurunan keuntungan sebelum cukainya.

DRB-Hicom Bhd (DRB-Hicom) mencatatkan hasil RM14.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, iaitu peningkatan sebanyak 8.1 peratus berbanding RM13.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut DRB-Hicom, semua tiga sektor perniagaannya iaitu automotif dan pertahanan, perkhidmatan serta hartanah, aset dan pembinaan menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata, kumpulan itu kekal fokus dalam usaha mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan teras mereka.

"(DRB-Hicom kekal fokus) untuk meningkatkan daya saing dan ketangkasan kami melalui peningkatan kecekapan operasi dan pengurusan kos yang efektif," katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Menurut kenyataan itu, pertumbuhan sektor automotif dan pertahanan didorong terutamanya oleh perkembangan projek kenderaan tentera AV8 dan kemasukan perniagaan komposit aeroangkasa yang diperoleh tahun ini melalui Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd.

Sektor perkhidmatan pula menyaksikan peningkatan dalam prestasi perniagaan konsesi manakala pengiktirafan hasil daripada penjualan tanah di Iskandar Malaysia menyumbang kepada pendapatan lebih tinggi bagi sektor hartanah, aset dan pembinaan.

Namun, keuntungan sebelum cukai DRB-Hicom merosot kepada RM601.9 juta daripada RM624.8 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Penurunan itu disebabkan persekitaran perniagaan automotif lebih mencabar dan berdaya saing, mengakibatkan pemampatan margin bagi perniagaan pengedaran automotif, serta peningkatan umum kos menjalankan perniagaan.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/bisnes/
Wartawan Sinar Harian

No comments: