Monday 26 May 2014

RM175,000 lebur diperdaya ‘rakan kongsi’

Gambar sekadar hiasan.

Petaling Jaya: Impian seorang lelaki untuk menjadi rakan kongsi projek pembinaan hotel musnah selepas dia menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang melesapkan wang pelaburannya sebanyak RM175,000. Lebih malang, apabila mangsa yang berusia 35 tahun cuba menuntut kembali wangnya, dia mendapati pejabat syarikat itu di Kelana Jaya, di sini, sudah ditutup dan pemiliknya gagal dikesan.

Menurut sumber polis, mangsa berkenalan dengan dua lelaki yang mendakwa terbabit dalam projek pembinaan hotel sekitar Disember tahun lalu. “Selepas berbincang mangsa dijanjikan sejumlah syer saham di dalam syarikat itu menyebabkan dia bersetuju melabur di dalam projek bernilai RM3.5 juta.

“Mangsa yang tidak menyedari akan ditipu mengeluarkan semua wang simpanannya RM175,000 sebagai modal pelaburan,” katanya. Bagaimanapun selepas dua bulan, mangsa mendapati projek itu masih tidak berjalan dan semakan dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM) juga mendapati projek tidak wujud.

Mangsa bersemuka dengan mereka, namun diberitahu dokumen berkaitan projek belum diserahkan kepada SSM dan mangsa percaya dengan alasan itu. Bagaimanapun selepas beberapa bulan menunggu mangsa tidak menerima maklum balas daripada syarikat terbabit menyebabkan dia mula mengesyaki sesuatu.

“Mangsa sekali lagi membuat semakan dengan SSM dan terkejut apabila mendapati nilai sebenar pelaburan projek itu tidak sampai RM3.5 juta sebaliknya hanya RM400,000. “Selepas mendapati pejabat syarikat itu sudah ditutup mangsa membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya,” katanya.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/

No comments: