Sunday, 8 June 2014

Koguru agih dividen 14 peratus kepada ahli

BESUT 6 Jun - Koperasi Warga Pendidikan Terengganu Berhad (Koguru), yang meraih keuntungan bersih RM2.8 juta bagi tahun kewangan 2013, akan membayar dividen 14 peratus kepada 10,000 anggotanya.

Pengerusinya, Alias Yahya berkata, berdasarkan laporan kewangan 2013, koperasi itu akan membayar dividen 10 peratus iaitu 10 peratus modal saham dan 4 peratus modal yuran berjumlah RM1.8 juta, kepada 10,000 anggota Koguru mulai awal November ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pencapaian memberangsangkan dan belum pernah dicapai sebelum ini, koperasi juga akan membayar bonus kepada pekerja Koguru tahun ini.

Sejak ditubuhkan pada 1965, Koguru telah berjaya mengumpul modal yuran anggotanya sebanyak RM40 juta. - BERNAMA

sumber dari : http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/

BSN sasar 19 juta transaksi EBB

Dari kiri: Puspa Marina, Yunos, Dein Wah dan Abdul Malek berbincang selepas memeterai MoU antara BSN dan Singer, semalam.

BANK Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan 19 juta transaksi menerusi perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar (EBB) sepanjang tahun ini.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Komunitinya, Yunos Abd Ghani berkata, jumlah transaksi perkhidmatan itu dijangka meningkat selaras dengan pertambahan EBB dari semasa ke semasa.

“Kita menyasarkan ejen EBB meningkat kepada 6,000 ejen hujung tahun ini. Setakat ini, kami mempunyai 5,342 ejen EBB dan akan menambah lebih kurang 700 ejen lagi.

“Sejak perkhidmatan EBB diperkenalkan pada Januari 2012 sehingga Mei lalu, BSN mencatatkan 20.2 juta transaksi dengan nilai lebih RM1.69 bilion,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara BSN dengan Singer Malaysia Sdn Bhd (Singer), di Kuala Lumpur.

MoU itu ditandatangani Yunos bersama Pengarah Urusan Singer, Yeap Dein Wah, disaksikan Naib Presiden Kanan, Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar serta Pengurus Besar (Pengurusan Kredit) Singer, Abdul Malek Mohd Yunus.

Menurutnya, 39 agensi menggunakan perkhidmatan EBB BSN untuk pelbagai jenis transaksi.

“Bilangan agensi ini dijangka meningkat dari semasa ke semasa. Ini akan menyumbang peningkatan jumlah urus niaga yang menggunakan perkhidmatan EBB BSN,” katanya.

Proton tawar rebat tunai sempena Ramadan, Aidilfitri

KUALA LUMPUR 6 Jun - Proton Holdings Bhd. membuat tawaran menarik untuk semua kereta keluarannya bulan ini bersempena Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata, ia akan menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model tertentu dan servis percuma tiga tahun, kadar faedah bermula daripada serendah 2.70 peratus dan pelbagai tawaran istimewa lain.

"Orang ramai dijemput melihat tawaran promosi kami bulan ini di semua bilik pameran Proton di Malaysia. "Promosi ini berterusan sehingga 30 Jun 2014," katanya. - BERNAMA

Sumber dari : http://utusan.com.my/utusan/Ekonomi/