Sunday, 13 September 2015

'Saya telah bersumpah, saya tak kenal pun siapa wanita ini'


Najib Tun Razak. - Foto Bernama

PEKAN - Isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribu didakwa sengaja ditimbulkan semula untuk menjatuhkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Najib, ‎terdapat pihak tertentu berusaha mengaibkan beliau dan menjatuhkan pemimpin.

"Saya tidak pernah jumpa seumur hidup saya dengan wanita ini dan walaupun telah tiga kali bersumpah di masjid, (ada yang) masih tidak percaya dan perkara ini dibangkitkan lagi.

"...seolah-olah ada konspirasi menjatuhkan Umno sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran negara," demikian tegas Najib.

Justeru, Najib berkata, ahli Umno perlu bijak dan mempunyai kebolehan untuk menyaring maklumat dan mengenal pasti senario politik baharu itu supaya tidak mudah dipesongkan oleh maklumat tidak sahih yang boleh merosakkan kejayaan negara.  

Dalam pada itu, Najib turut mengulangi pendirian untuk terus menerajui kerajaan dan parti selagi mendapat sokongan, dan yakin mampu mendepani segala masalah dan kemelut politik yang dihadapi kini dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan anggota parti. 

Dalam ucapannya, Najib turut mengingatkan anggota perwakilan mengenai cabaran politik baharu yang dipengaruhi perkembangan media sosial.

Katanya, jika sebelum ini senjata yang diguna untuk merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin adalah terbatas, namun dengan perkembangan media sosial kini semuanya di hujung jari. 

"Melalui media sosial, kini mudah untuk racun fikiran rakyat supaya bencikan pemimpin, kebaikan yang dibuat sekian lama tidak dipandang, tapi satu dua kesalahan yang dibuat itu akan diperbesar-besarkan seolah-olah langit nak jatuh.

"Kini perkara itu berlaku pada saya sebab saya presiden parti. Biasanya mereka akan serang kepala parti, kalau kepala parti hilang kepercayaan, maka mudahlah parti itu tumbang bila-bila masa, itu formulanya," kata Najib. - Bernama

Sumber : sinarharian.com.my

Unik dan sukar ditemui membuatkan sebiji topi keledar dijual dengan harga RM47,000


HAZWAN (kiri) menjual helmet Shoei jenis J- Force II Jack Red kepada Mok.

Itu alasan penjual topi keledar yang mahu dikenali sebagai Hazwan, 29, bagi menjawab pelbagai reaksi yang diterimanya selepas kejayaan dia menjual sebiji topi keledar dengan harga RM47,000 ‘viral’ di laman sosial Facebook (FB), baru-baru ini.

Bapa kepada anak berusia lapan bulan dari Shah Alam itu berkata, topi keledar Shoei jenis J- Force II Jack Red berwarna merah yang dijual diperoleh dari Jepun melalui seorang perantara dari Singapura yang membuat bidaan harga sebelum dia membelinya dan dibawa masuk ke negara ini.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan harga topi keledar itu ketika membelinya.

“Saya menganggap harga yang ditawarkan selepas melakukan bidaan iaitu RM47,000 itu sangat berpatutan berbanding harga sebenar lebih RM60,000.

“Selepas seminggu dibawa masuk ke Malaysia, topi keledar itu dibeli seorang lelaki India berusia 30-an dikenali sebagai Mok yang juga penggemar dan pengumpul barangan itu pada Isnin lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Katanya, lelaki itu ada memaklumkan kepadanya dia sudah sekian lama mencari topi keledar berkenaan selain hobinya yang gemar mengumpul topi keledar.

“Dia (Mok) teruja ketika melakukan pembelian dan wang bukan halangan baginya untuk memenuhi kehendak dan kepuasannya,” katanya.

Menurutnya, dia tidak mahu ambil peduli reaksi dan pandangan negatif yang dilemparkan segelintir pengguna di FB yang mengecam harga topi keledar itu.

“Pada awalnya saya agak terkejut apabila gambar yang dimuat naik melalui FB saya menjadi ‘viral’.
“Saya baru dua bulan menjalankan perniagaan ini dan alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan terutama daripada penggemar topi keledar di negara ini.

“Semuanya timbul kerana minat, tidak kiralah harga RM100,000 sekalipun kalau sudah minat itu semua bukan halangan,” katanya.

sumber : hmetro.com.my

Kerana nak KAYA. Tergama membunuh anak sendiri.


NEW DELHI - INDIA. Seorang bapa tergamak membunuh anak perempuannya sendiri yang berusia 9 tahun dengan mengunakan tukul kerana percaya tindakannya itu akan menjadikannya kaya.

Girjesh Pal, 38 memukul anaknya Kushi hingga maut di hadapan isterinya sendiri selepas berlaku pertengkaran antara mereka.

Memetik The Sun UK, ibu mangsa, Sunita mendakwa suaminya itu menyerang anak perempuannya selepas seorang rakannya pernah menasihatinya bahawa dia akan memperoleh kekayaan jika mengorbankan anaknya itu.

Pada hari kejadian, Girjesh dilihat membeli kapur yang digunakan untuk acara ritual dan enggan makan malam kerana atas alasan berpuasa. 

Sunita berkata, suaminya itu membuat beberapa acara ritual sebelum memukul anaknya itu, malah dia juga turut minum darah mangsa dan berkata tujuan dia mengorbankan nyawa anaknya adalah untuk memberi kebahagian kepada keluarga serta kestabilan kewangan.

Walaupun Sunita dan seorang lagi anak lelakinya cuba untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal.

Sementara itu, menurut penduduk tempatan yang turut berada di lokasi kejadian berkata semua yang berada di tempat kejadian menjerit dan cuba untuk membantu, namun dihalang oleh suspek. 

Girjesh yang bekerja sebagai petani sering mengalami masalah kewangan dan dia kini ditahan atas tuduhan membunuh.

sumber : sinarharian.com.my