Najib Tun Razak. - Foto Bernama
PEKAN - Isu pembunuhan wanita
Mongolia, Altantuya Shaaribu didakwa sengaja ditimbulkan semula untuk
menjatuhkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut Najib, terdapat pihak
tertentu berusaha mengaibkan beliau dan menjatuhkan pemimpin.
"Saya tidak pernah jumpa seumur
hidup saya dengan wanita ini dan walaupun telah tiga kali bersumpah di masjid,
(ada yang) masih tidak percaya dan perkara ini dibangkitkan lagi.
"...seolah-olah ada konspirasi
menjatuhkan Umno sebagai parti yang menunjangi kepimpinan dan pentadbiran
negara," demikian tegas Najib.
Justeru, Najib berkata, ahli Umno
perlu bijak dan mempunyai kebolehan untuk menyaring maklumat dan mengenal pasti
senario politik baharu itu supaya tidak mudah dipesongkan oleh maklumat tidak
sahih yang boleh merosakkan kejayaan negara.
Dalam pada itu, Najib turut
mengulangi pendirian untuk terus menerajui kerajaan dan parti selagi mendapat
sokongan, dan yakin mampu mendepani segala masalah dan kemelut politik yang
dihadapi kini dengan sokongan dan kepercayaan yang diberikan anggota
parti.
Dalam ucapannya, Najib turut
mengingatkan anggota perwakilan mengenai cabaran politik baharu yang
dipengaruhi perkembangan media sosial.
Katanya, jika sebelum ini senjata
yang diguna untuk merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin adalah terbatas,
namun dengan perkembangan media sosial kini semuanya di hujung jari.
"Melalui media sosial, kini
mudah untuk racun fikiran rakyat supaya bencikan pemimpin, kebaikan yang dibuat
sekian lama tidak dipandang, tapi satu dua kesalahan yang dibuat itu akan
diperbesar-besarkan seolah-olah langit nak jatuh.
"Kini perkara itu berlaku pada
saya sebab saya presiden parti. Biasanya mereka akan serang kepala parti, kalau
kepala parti hilang kepercayaan, maka mudahlah parti itu tumbang bila-bila
masa, itu formulanya," kata Najib. - Bernama
Sumber : sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment