CHE GHAZALI (tiga dari kanan) menunjukkan heroin dan syabu
yang dirampas daripada seorang wanita muda yang diberkas pada sidang akhbar di
Langkawi semalam.
Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
LANGKAWI – Seorang ibu kepada tiga
orang anak yang menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah di pulau peranginan
ini sejak kira-kira tiga tahun lalu sehingga mampu memiliki simpanan berjumlah
RM1.4 juta diberkas polis pada Khamis lalu.
Wanita berusia 28 tahun berasal dari
Pendang dekat sini itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah
Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi ketika dia baru tiba di Terminal
Feri Kuah di sini dari Terminal Feri Kuala Kedah kira-kira pukul 6.30 petang.
Turut bersama suspek ketika itu
ialah tiga anaknya yang berusia antara tujuh hingga sembilan tahun.
Ketua Polis Daerah Langkawi,
Superintendan Dr. Che Ghazali Che Awang memberitahu, dalam tangkapan itu,
pihaknya turut menemui lima kilogram heroin dan 171 gram syabu bernilai
RM202,000 di dalam beg galas yang dibawa wanita tersebut.
“Kita percaya suspek mendapatkan
bekalan dadah itu dari tanah besar untuk diedar kepada penagih di Langkawi.
“Siasatan awal kita juga mendapati
wanita tersebut tinggal di Alor Setar dan berulang-alik ke Langkawi untuk
mengedar dadah. Kita masih menyiasat kekerapan dia datang ke pulau ini,”
katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kata beliau, pihaknya juga mengesan
bahawa suspek mempunyai simpanan berjumlah RM1.4 juta di dalam akaun bank
miliknya dan percaya ia adalah hasil daripada kegiatan pengedaran dadah sejak
kira-kira tiga tahun lalu.
“Wanita ini tidak mempunyai
pekerjaan lain dan kita percaya pendapatan lumayannya adalah hasil daripada
kegiatan haram ini,” ujarnya.
Che Ghazali memberitahu, bekalan
dadah yang dibawa suspek mampu dijual kepada kira-kira 50,000 penagih dadah
untuk tempoh beberapa bulan jika diedarkan dalam bentuk peket dan straw.
Sumber : kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment