Sunday, 22 November 2015

Perangi IS, bukan Perangi Islam


PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama bercakap ketika sidang media pada Persidangan Kemuncak ASEAN dan Persidangan Berkaitan 2015. 

Kuala Lumpur: Peperangan terhadap pengganas IS bukan penentangan terhadap agama kerana Amerika Syarikat (AS) sendiri mempunyai rakyat beragama Islam. 

Presiden AS Barack Obama berkata, idealogi IS bukan menggambarkan Islam yang sebenar.
"Saya ingin mengulangi tekad kami untuk menghapuskan kumpulan ini bersama rakan dari negara lain termasuk Malaysia. 

"Kita akan memburu ketua mereka, melumpuhkan saluran kewangan dan memastikan idealogi terpesong mereka disekat," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 

Beliau berkata, matlamat utama kumpulan itu hanya mahu mewujudkan ketakutan. 

"Mereka tidak boleh mengalahkan kita di medan peperangan jadi mereka menyerang tempat tumpuan awam seperti restoran," katanya. 

Obama berkata, AS dan negara rakan tidak akan terperangkap dengan matlamat kumpulan pengganas yang mahu menakutkan masyarakat dunia. 

"Mereka hanya satu kumpulan pembunuh dan saya yakin kita mampu hapuskan mereka tanpa mengorbankan nilai yang kita pertahankan selama ini," katanya. 

sumber : hmetro.com.my/

YaPEIM guna duit sendiri, bukan dari anak yatim – Asyraf

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata yayasan tersebut telah menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1.034 bilion melalui perniagaan anak syarikatnya. - Foto TRP/Adib Hakim

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menggunakan wang yang dihasilkan sendiri untuk membiayai perjalanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke Amerika Syarikat (AS), bukan wang yang diguna dari anak-anak yatim. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata yayasan tersebut telah menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1.034 bilion melalui perniagaan anak syarikatnya. 

Antara anak-anak syarikat adalah operasi Ar-Rahnu yang sehingga 2015 telah menjana RM83 juta.
“YaPEIM membuat keuntungan sendiri, kita tidak menggunakan wang yang dimaksudkan untuk anak-anak yatim atau golongan miskin. 

“Tuduhan bahawa wang anak-anak yatim ‘telah digunakan adalah fitnah,” kata Asyraf merujuk kepada dua invois yang didedah kepada media oleh National Oversight & Whistleblowers (NOW), minggu lalu.

Asyraf berkata demikan di hadapan barisan ahli Parlimen di sidang Dewan Rakyat, semalam. 

Invois tersebut menyenaraikan pembayaran yang dibuat bagi perjalanan Jamil, isterinya, dan rombongan yang didakwa terlibat dalam program Mid West Game, yang dianjurkan oleh agensi-agensi kebangsaan dengan kerjasama dengan Pendidikan Malaysia (EM) Amerika Syarikat dan Chicago.

“Walaupun jika anda banding dengan RM1.034 bilion, RM410,000 yang digunakan untuk perjalanan ke Amerika Syarikat hanya 0.063 peratus,” katanya. 

Menurut Asyraf, keputusan mengenai siapa YaPEIM mahu membawa bersama dalam perjalanan dan berapa banyak yang mereka mahu membayar untuk itu bergantung kepada lembaga pemegang amanah, yang mempunyai kuasa penuh ke atas yayasan itu.

Kuasa penuh ini juga termasuk menentukan berapa banyak elaun yang diterima bagi jawatan eksekutif.


Isnin lalu, Pengarah NOW, Akmal Nasir mendakwa YaPEIM membelanjakan lagi wang berjumlah RM290,000 di Paris untuk penganjuran kursus perkahwinan yang mana ianya dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

sumber : therakyatpost.com/


34 ketua cawangan Umno desak Najib letak jawatan

Mohd Isa (tiga dari kiri) mewakili 33 ketua cawangan yang hadir mendesak Presiden Umno meletak jawatan‎. - Foto Sinar Harian

PORT DICKSON - Seramai 34 ketua Cawangan Umno dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Presiden Umno. 

Kenyataan dibuat di hadapan media oleh ketua cawangan Umno Taman PD Utama, Mohd Isa Mohd Yasin selepas kesemua 34 orang dari Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Perak dan Sabah menghadiri sesi suai kenal serta mengadakan mesyuarat yang berlangsung kira-kira satu jam bermula kira-kira 3 petang di sini, hari ini. 

Menurut Mohd Isa, mereka sebulat suara mendesak Presiden Umno meletak jawatan kerana sudah hilang kepercayaan terhadap kredibiliti pemimpin itu dalam memimpin parti nombor satu Melayu itu. 

Menurutnya, semasa peralihan jawatan antara Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Najib, mereka memberikan sokongan penuh, di samping meletakkan harapan yang begitu tinggi. 

“Namun, apa yang berlaku hari ini tidak seperti mana yang diharapkan dan sudah ramai yang sangsi dengan Umno. 

“Melalui mesyuarat ini juga, kita mahu parti tidak mengambil sebarang tindakan disiplin terhadap timbalan presiden, naib presiden, ketua cawangan atau mana-mana ahli Umno yang tampil membuat kritikan kepada parti,” katanya pada sidang media berkenaan, hari ini. 

Mohd Isa juga mendakwa mereka sudah mendapat sokongan hampir 5,000 ketua cawangan lain dari seluruh negara dan bercadang mengadakan himpunan besar-besaran akhir bulan depan berhubung perkara berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya, lokasi penganjuran masih belum ditetapkan. 

“Kita yakin akan mendapat sokongan lebih satu perempat daripada cawangan Umno di seluruh negara.
“Tindakan kami ini tidak didorong oleh mana-mana pihak, sebaliknya atas kesedaran sendiri untuk mengembalikan hak bersuara dalam Umno kepada yang benar-benar berhak iaitu ketua Umno cawangan sebagai akar umbi supaya parti dapat diselamatkan,” katanya. 

Pertengahan bulan lalu, seramai 13 ketua cawangan Umno sekitar Telok Kemang mengadakan sidang media mendesak Najib meletak jawatan.

Ia disusuli dengan tindakan 10 cawangan Umno di bahagian Sepang yang turut membuat kenyataan sama, Rabu lalu. 

sumber : sinarharian.com.my/