Saturday, 1 August 2015

Punca Ringgit Malaysia Jatuh

Contoh

KUALA LUMPUR - Kejatuhan nilai ringgit ketika ini ‎adalah disebabkan faktor-faktor luaran termasuk penyusutan harga komoditi minyak dunia serta tekanan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).
  
Malah, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, harga minyak baru-baru ini turut jatuh sehingga mencecah paras di bawah AS$50 setong pada bulan Julai lepas.‎
  
"Dari segi ringgit, sebenarnya kita harus faham ianya adalah satu fenomena. Kadar pertukaran nilai wang ini bukannya ditentukan oleh kita.
  
"Lihat saja di China, indeks saham mereka telah menjunam sehingga 30 peratus‎ dalam masa yang singkat," katanya.
  
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Suruhanjaya Sekuriti di sini, hari ini.
  
Ringgit susut sebanyak 8.4 peratus daripada paras 3.4965 berbanding dolar AS yang dicatatkan pada akhir tahun lepas.
  
Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, penyusutan kadar mata wang itu turut dialami negara-negara lain seperti Australia yang mana peratusan penurunannya adalah lebih tinggi berbanding ringgit.‎
  
"Ini menunjukkan bahawa (mata wang dunia) sekarang turut mengalami kesan penurunan harga komoditi serta kemungkinan Amerika Syarikat (AS) akan menaikkan kadar faedah mereka," katanya.
  
Menurutnya, walaupun ketika ini kerajaan tiada cadangan untuk menambat ringgit‎ pada paras RM3.80 berbanding US$1 dolar, beliau yakin pihak Bank Negara Malaysia akan sentiasa memantau keadaan, khususnya dari segi dasar monetari.
  
Mengenai kemungkinan ringgit terus menjunam atau pulih, Tee Yong menjelaskan, ia bukanlah sesuatu yang mampu diramal sekarang kerana harga komoditi minyak yang merupakan antara sumber pendapatan negara, dijangka terus berdepan ketidaktentuan.‎
  
"Banyak pihak berpendapat apabila nilai ringgit kita turun, ia akan membantu dari segi eksport. Saya yakin, nilai ringgit yang lemah akan menarik lebih banyak pelaburan asing," katanya. - Bernama

Friday, 31 July 2015

Saham Malaysia Jatuh Kepada 1698 – 1,699 Mata Selepas Rombakan Menteri Kabinet

Bursa Saham Malaysia Jatuh Kepada 1698 – 1,699 Mata Selepas Rombakan Menteri Kabinet 2015.

Inilah jadinya kepada negara, apabila politik tidak stabil ditambah dengan skandal 1MDB masih lagi tidak menunjukkan kesungguhan untuk membawa tangan-tangan kotor yang merosakkan negara ke muka pengadilan, masih lagi kelihatan ikan-ikan bilis yang dibawa menghiasi dada-dada akhbar kononnya antara terlibat dalam skandal 1MDB ini.

Apabila politik tidak stabil ditambah dengan skandal 1MDB, pasaran modal juga tidak stabil.
“Politik mempunyai hubungan secara langsung dengan ekonomi”

Punca dan Sebab Bursa Saham Malaysia Jatuh?

Mengapa dan kenapa hari demi hari Ringgit Malaysia terus dicampak dan terapung serta tidak laku di pasaran wang antarabangsa oleh pelabur? Apa sebabnya?

Semalam mencatatkan bursa Malaysia terus menjunam ke bawah 1700 mata selepas sahaja rombakan menteri kabinet sehingga melihatkan individu penting yang menyiasat dan bertanyakan secara terbuka 1MDB disingkirkan, dan diserapkan ke bahagian lain.

Nah…sekarang ini apa yang kerajaan Malaysia mahu lakukan untuk yakinkan pelabur selepas melihat apa yang berlkau kepada Bursa Saham Malaysia hari ini

P/S : Hidup rakyat Malaysia sepatutnya lebih aman tanpa 1MDB. Fokus sahaja membangunkan negara selepas menang PRU13. Tidak perlu buat 1MDB sebaik sahaja ambil alih kerusi Pak Lah. Kalau tiada 1MDB, tiadalah GST sejumlah 6%. Tiadalah pelabur yang melarikan diri. Tiadalah masa depan yang suram dan tidak menentu di bumi Malaysia. Apabila orang tanya dan tegur, terus disingkirkan? Pahlawan apakah ini?

sumber : http://www.beritasemasa.com.my/bursa-saham-malaysia-rombakan-menteri-kabinet


Thursday, 30 July 2015

Diami Rumah Daripada Bahan Terbuang

Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, berdiri di hadapan kediamannya yang daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah, dekat sini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR – Tidur beralaskan tikar getah,berbumbungkan atap bocor sudah menjadi perkara biasa bagi enam sekeluarga yang hidup dalam keadaan daif di Kampung Kubang Jawi 1, Kuala Kedah.

Zainol Seman, 50, dan isterinya, Norizah Zainol, 36, serta empat anaknya berumur empat hingga 13 tahun telah tinggal di situ selama tiga tahun setelah merantau di beberapa tempat lain berikutan tidak mempunyai tempat tinggal.

“Sebelum menetap di sini sejak tiga tahun lalu, kami sekeluarga banyak merantau kerana tidak mempunyai tempat tinggal tetap. Saya mengambil tempoh seminggu untuk menyiapkan rumah ini dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti papan, buluh dan kain.”

“Apabila hujan lebat, pakaian dan barangan dalam rumah akan basah kerana atap dan dinding rumah yang berlubang selain atap akan diterbangkan jika angin kencang. Baru-baru ini juga ular tedung masuk melalui papan di bahagian dapur yang tidak tertutup,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Beliau berkata dia, isteri dan anak-anaknya juga terpaksa tidur di atas tanah beralaskan tikar getah apabila hujan turun dan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan kehadiran binatang berbisa yang mungkin masuk melalui dapur dan tandas yang hanya ditutup menggunakan papan dan kain buruk.

Mereka enam beranak katanya, akan tidur berbaris beralaskan tikar getah di atas tanah apabila hujan dan jikalau cuaca baik baru kami tidur di bahagian atas yang beralaskan buluh.

“Kami sudah biasa dengan keadaan ini kerana tidak mampu untuk membina rumah walaupun tinggal di atas tanah sendiri berikutan tidak mempunyai duit.”

Saya hanya bekerja kampung dan memperoleh RM500 sebulan manakala isteri mengambil upah membuat kuih popia dengan bayaran RM70 sebulan dan ini tidak mencukupi untuk menampung pembiayaan persekolahan tiga orang anak dan keperluan barangan dapur. Duit untuk makan juga kadang-kadang tidak cukup, jadi makan apa yang ada sahaja,” katanya.

Menurut Zainol, beliau membina rumahnya di belakang rumah pusaka peninggalan ibunya yang kini dihuni kakaknya dan terpaksa membayar RM10 hingga RM20 kerana mengambil bekalan air dan elektrik daripada rumah kakaknya.

“Tahun ini tahun pertama kami menerima bantuan daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) sebanyak RM600 untuk setahun manakala pemohonan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ditolak kerana tidak cukup syarat,” katanya.

Beliau berharap ada pihak yang boleh membantu dari segi kewangan ataupun membina rumah untuk mereka sekeluarga di atas tanah sendiri.

Mereka yang ingin membantu boleh menghubungi Zainol di talian 013-5902892 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional 02100-29-00066768-5. – BERNAMA