Saturday, 8 August 2015

Tukang Sapu Yang Kaya Raya Esetnya Bernilai RM86juta.

Ketika sudah berjaya, rasanya tiada sesiapa yang mahu mengulangi kembali waktu-waktu “susah”. Menikmati kejayaan dan harta benda tentu lebih indah berbanding bermandi peluh di bawah panas matahari. Tetapi lain halnya dengan Yu Youzhen, seorang jutawan yang sehari-hari bekerja menjadi tukang sapu di Kota Wuhan, China. 
Siapakah Yu Youzhen?

Wanita berumur 53 tahun itu seorang pekerja rajin yang setiap subuh, enam hari dalam seminggu membersihkan jalan sepanjang 3.2 kilometer. Dia seorang tukang sapu, yang setiap hari bekerja memungut sampah yang berselerak di jalanan. Namun jangan sangka yang dia kekurangan harta.

Harian South China Morning Post memberitakan, Yu adalah pemilik 17 apartmen di Wuhan. Nilai asetnya sebesar 1.6 juta dollar US atau lebih dari RM86 juta.

Jutawan yang mengagumkan itu tidak memanjakan diri dengan hasil kekayaannya. Malah dia memilih menjadi pekerja kontrak Kumpulan Pembersih Daerah Chengguan, Wuchang, dengan gaji 1,420 yuan atau setara dengan RM850 sebulan. Dia melakukan tugas ini semenjak tahun 1998. 

Mengapa?

“Saya ingin menjadi contoh baik kepada anak-anak saya. Saya tidak mahu duduk bermalas-malasan, hanya menikmati kekayaan,” kata beliau, dipetik dari Daily Mail, Sabtu (5/1/2013).

Mengejutkan. Jarang sekali menemui orang yang mempunyai pemikiran seperti Yu Youzhen. Dia tidak mahu anak-anaknya menjadi orang yang manja dan bersuka ria. Ibu kepada dua orang anak ini mempunyai prinsip, gaya hidup berpoya-poya akan merosakkan anak-anaknya dalam jangka masa yang panjang.

Sebelum mengecapi manisnya kejayaan, pada tahun 1980, Yu Youzhen merupakan seorang petani di desa Huojiawa, Wuhan. Dia dan suaminya bekerja keras dan menabung hingga berjaya membeli tanah dan membangunkan tiga buah bangunan lima tingkat. Ketiga-tiga bangunan itu disewakan.

Tahun 2008 menjadi tahun kejayaan bagi Yu Youzhen. Ketika itu, berkat kebijaksanaan kerajaan, tanah serta bangunan miliknya diambil alih. Sebagai ganti, dia mendapat pampasan berupa 21 unit apartmen yang luas. Empat apartmen itu dijual, dan baki 17 apartmen disewakan hingga sekarang 

Kekhuatiran Yu Youzhen

Selain menerima pampasan apartmen, Yu Youzhen juga mendapat pelajaran dari peristiwa tersebut. Dia melihat para penduduk desa lain yang turut menerima pampasan lantas menggunakan wang tersebut untuk berjudi dan mengambil dadah.

Kenyataan itu membuat Yu sedar, dia harus bekerja keras agar anak cucunya tidak menemui nasib yang serupa. Untuk dua orang anaknya, Yu mendisiplinkan mereka untuk rajin belajar. Dia bahkan pernah mengancam anaknya:

“Jika kamu tidak bekerja, saya akan mendermakan apartmen-apartmen itu kepada kerajaan,” katanya, menurut petikan dari Chinasmack.

Buah jatuh takkan jauh dari pohonnya. Berkat didikan keras dari Yu, kedua-dua anaknya pun membesar menjadi pekerja yang rajin. Anak lelakinya kini bekerja sebagai pemandu di kawasan Donghu dengan gaji sekitar RM300 sebulan. Manakala anak perempuannya bekerja di sebuah syarikat dengan gaji sekitar RM900 sebulan. 

Nilai Moral

“Bekerja bukannya kerana gaji semata-mata, tetapi member kita hala tuju. Kemalasan adalah kebiasaan yang buruk,” kata Yu Youzhen.

Tiada sesiapa yang mahu berada dalam kesusahan. Tetapi berada dalam keadaan “selesa” bukan bererti kita layak menjadi malas. Yang penting, bekerja dengan sepenuh hati, halal, dan tidak merugikan orang lain.

Friday, 7 August 2015

Pertandingan meriam karbaid

SEJARAH Kota Pontianak di Kalimantan, Indonesia bermula selepas Sultan Syarif Abdurrahman Alkadrie bersama saudara-maranya bermuafakat untuk mencari tempat kediaman baharu selepas bapa mereka meninggal dunia.

Mereka berangkat dengan 14 perahu dan menyusuri Sungai Kakap sehingga menemui sebuah pulau, yang kini dikenali dengan nama Batu Layang.

Di pulau itu, rombongan tersebut telah diganggu hantu puntianak menyebabkan Syarif Abdurrahman memerintahkan seluruh pengikutnya untuk memerangi hantu-hantu itu dengan menggunakan meriam karbaid yang dihalakan ke arah sungai.

Selepas berjaya mengharungi situasi getir dan menghalau hantu-hantu tersebut, rombongan itu kembali meneruskan perjalanan menyusuri Sungai Kapuas.

Menjelang subuh 23 Oktober 1771, mereka tiba di persimpangan Sungai Kapuas dan Sungai Landak.
Mereka menebas pokok-pokok di daratan itu selama lapan hari dan mula membina sebuah rumah dan balai serta menamakan kawasan itu sebagai Pontianak.

Sejak itu, tradisi bermain meriam karbaid masih diteruskan di Pontianak setiap kali menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Letusan daripada meriam tersebut boleh didengari sehingga lima kilometer dari tempat ia di letupkan.
Bahkan, rumah-rumah yang berada dekat dengan meriam-meriam itu turut bergegar dek bunyi letupan tersebut.

Tradisi yang sudah berlaku sejak puluhan tahun itu menandakan seluruh warga Pontianak sedang bergembira meraikan kehadiran lebaran selepas sebulan menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Kegembiraan itu disambut dengan meledakkan meriam-meriam karbaid yang dibuat oleh anak-anak muda di daerah tersebut.

“Bahkan selama sedekad kebelakangan ini, permainan meriam karbaid semakin meriah kerana disokong oleh pemerintah yang menjadikan ia sebagai satu festival yang melibatkan penduduk setempat,” kata Zainal Bahrul, salah seorang penduduk yang tinggal di tepian Sungai Kapuas.
 

Gas metana


Acara meletupkan meriam karbaid dilakukan secara serentak terutama pada malam hari raya, namun beberapa hari sebelum itu sudah ada meriam yang sengaja diletupkan untuk diuji.

Di sepanjang tepian Sungai Kapuas, beberapa meriam karbaid tersusun rapi mewakili kelompok masyarakat masing-masing yang terdiri daripada lorong perumahan atau perkampungan di kawasan tersebut.

Ukuran dan jumlah meriam karbaid untuk setiap kelompok juga berbeza-beza. Bagi menampakkan ia kelihatan lebih cantik, meriam-meriam tersebut dicat dengan warna-warna cerah serta dihias motif-motif tertentu.

Meriam karbaid berbentuk silinder itu dibuat daripada kayu belian, mabang, meranti atau ulin yang dililit dengan rotan.

Ini bukanlah jenis permainan yang murah kerana untuk menghasilkan sebuah meriam, kayu sepanjang tujuh meter dengan diameter 80-100 sentimeter yang berharga antara Rp2 juta (RM575) sehingga Rp5 juta (RM1,400) diperlukan.

Bahan karbaid atau dalam bahasa Inggeris carbide mampu mengeluarkan gas metana apabila bercampur dengan air dan meletup apabila dicucuh api.

Bahan tersebut dijual pada harga Rp2 juta (RM575) untuk 100 kilogram. Kebiasaannya ia cukup untuk bermain selama dua hari.

“Kalau dikira daripada persiapan sampai boleh diledakkan, mungkin boleh habis sehingga Rp20 juta (RM5,746),” jelas Zainal.

Walaupun kos untuk meletupkan meriam tersebut sangat mahal namun ia tidak menghalang penduduk Pontianak untuk terus memelihara tradisi festival meriam karbaid. “Tradisi ini sudah turun temurun.

Anak-anak kecil sudah pandai memasang meriam karbaid, bahkan mungkin mereka tidak boleh tidur kalau tidak dengar ledakan meriam ini. Mereka juga diajar untuk membuatnya,” ujarnya.

Kemeriahan festival meriam karbaid kini sudah sampai ke kota lain sehingga mengundang pelancong dari dalam dan luar negara untuk menyaksikan dentuman-dentuman meriam itu sekali gus menyemarakkan malam hari raya di Kalimantan.

Menurut Zainal, kedatangan pelancong ke daerah tersebut telah memberi keuntungan kepada penduduk setempat.

Jelasnya, apabila pelancong turut menyalakan meriam karbaid, mereka akan menyumbangkan wang kepada pemilik meriam.

Selain itu, terdapat penduduk yang menjual pelbagai jenis makanan dan kuih-muih ketika festival memainkan meriam tersebut berlangsung.

“Selalunya pada malam raya, kota Pontianak menjadi sunyi kerana ramai yang pergi ke Sungai Kapuas untuk melihat pertunjukan meriam karbaid,” kata Zainal.

Berperang

Sementara itu, di kampung Zainal, beberapa orang penduduk bergotong-royong untuk menghias deretan meriam karbaid yang sudah siap untuk melawan kekuatan meriam karbaid dan berperang dengan kampung lain.

Bagi memastikan meriam-meriam tersebut tidak cepat rosak, mereka merendam meriam itu di dalam Sungai Kapuas.

Zainal yang mewakili penduduk dari Lorong Haji Mursyid menghias meriam mereka dengan corak khas Melayu.

Persiapan menjelang ‘perang’ itu sudah dilakukan sejak beberapa hari yang lalu. Mereka berharap dapat mengulangi kejayaan tahun sebelumnya kerana kampung itu pernah menduduki tempat ketiga festival meriam karbaid iaitu pada tahun 2013 dan juara pada tahun lepas.

Bagaimanapun, ada satu perkara yang mengganggu fikiran Zainal dan penduduk lain yang meneruskan tradisi meriam karbaid.

“Sekarang susah sekali untuk mendapatkan kayu kerana pembalakan haram. Ini menyebabkan bentuk meriam karbaid semakin kecil berbanding sebelum ini,” jelasnya.

Ujar Zainal, kayu-kayu yang dibeli dari Kampung Arang Kubu Raya tiada lagi kerana pemiliknya sudah ditangkap polis selepas terlibat dalam kegiatan pembalakan haram.

“Pada hal kami sudah membawa surat daripada Forum Meriam Karbaid untuk membeli kayu. Itukan kayu untuk membuat meriam karbaid, bukan untuk tujuan menjual kepada pihak lain,” keluhnya. – ANTARA

sumber : http://www.kosmo.com.my/

Thursday, 6 August 2015

Serpihan Sah Milik MH370

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion daripada pesawat MH370 yang hilang.

“Hari ini, 515 hari sejak hilangnya pesawat, dengan berat hati saya harus maklumkan bahawa pasukan pakar antarabangsa dengan muktamad mengesahkan bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion daripada MH370.

“Kita sekarang mempunyai bukti fizikal, seperti saya umumkan tahun lalu bahawa pesawat MH370 dengan tragisnya berakhir di selatan Lautan Hindi,” katanya.

Walaupun mungkin berat dan memilukan, Najib berharap ia dapat memberikan kepastian kepada anggota keluarga kepada 239 orang yang berada di dalam pesawat itu.

Beliau memberi jaminan Malaysia akan melakukan apa yang boleh untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi itu.

MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bernama melaporkan kenyataan penuh perdana menteri mengenai pesawat MH370:

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang. Hari,minggu dan bulan yang mendatang menjadi tempoh yang cukup menyiksakan bagi keluarga mereka yang berada dalam pesawat itu.

Pesawat itu hilang tanpa duluan. Di setiap peringkat, kami hanya mengikuti bukti sekecil mana yang ada. Namun, usaha 26 negara serta pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan, dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi, masih gagal mengesan pesawat itu.

Malah, pakar penerbangan dunia gagal memberikan jawaban mengapa MH370 terpesong daripada laluannya dan hilang. Ketika kehilangan pesawat itu kekal satu misteri, kami berkongsi keperitan keluarga mereka.

Minggu lalu, pada 29 Julai, kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa Perancis bahawa sebahagian daripada sayap pesawat ditemui di Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis di Lautan Hindi.

Hari ini, 515 hari selepas pesawat itu hilang, dengan hati yang berat saya perlu memberitahu anda bahawa pasukan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Kami kini mempunyai bukti fizikal yang mana saya umumkan pada 24 Mac tahun lalu, pesawat MH370 secara tragik berakhir di selatan Lautan Hindi.

Ini adalah kawasan terpencil, bergelora dan berbahaya, dan sebagai mewakili Malaysia saya berterima kasih kepada banyak negara, pertubuhan dan individu yang terlibat dalam pencarian ini.

Beban dan ketidaktentuan yang dihadapi semua keluarga terlibat sepanjang tempoh ini memang sukar dijelaskan.

Saya berharap dengan pengesahan ini, walaupun tragik dan menyakitkan, ia setidak-tidaknya memberi kepastian kepada keluarga dan orang tercinta bagi semua 239 orang yang berada di dalam MH370. Kami turut bersimpati dan berdoa untuk mereka.

Saya ingin memberi jaminan kepada mereka yang terjejas akibat tragedi ini bahawa kerajaan Malaysia komited untuk melakukan apa yang terdaya untuk mencari kepastian apa yang sebenarnya berlaku.

Kehilangan MH370 menyebabkan kita bersatu sebagai satu bangsa. Kami berkabung bersama anda, sebagai satu negara.

Saya menjanjikan ini: Malaysia akan sentiasa memperingati mereka yang terkorban dalam MH370.


sumber : malaysiakini.com