Thursday, 12 November 2015

"AUTA" Cip pada bateri Samsung curi data?


Dakwaan cip di belakang bateri Samsung mencuri maklumat pengguna, tidak benar.

AUTA

SATU rakaman video berdurasi selama 2:18 minit memaparkan mengenai bahaya dan risiko menggunakan telefon pintar jenis Samsung yang didakwa mampu menyimpan serta mencuri data pengguna menjadi viral di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran sesetengah pihak.

Melalui rakaman berkenaan, pemilik video mendakwa, terdapat cip pengintip yang dipasang di belakang bateri telefon tersebut untuk mengintip apa yang dilakukan penggunanya termasuk mengesan data, video dan apa saja yang dimuat turun pengguna dari dalam telefon tersebut.

FAKTA


Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Khirul Nizam Abd Rahman memaklumkan bahawa tayangan klip video berkenaan adalah berkemungkinan tidak benar memandangkan cip tersebut dikenali sebagai antenna Near Field Communication (NFC).

Menurut beliau, NFC berfungsi bagi membolehkan pengguna bertukar data atau maklumat dengan peralatan lain yang turut mempunyai teknologi berkenaan seperti telefon pintar dan sebagainya.

Selain itu, Khirul memaklumkan bahawa NFC juga berfungsi sama seperti teknologi Bluetooth di mana pengguna perlu mendekatkan telefon pintar bagi membolehkan berlakunya pertukaran data serta ianya memerlukan kebenaran daripada pengguna terlebih dahulu.

Tambahnya, masyarakat tidak perlu gusar memandangkan kecurian data dengan menggunakan NFC adalah mustahil sama sekali, namun mereka perlu berjaga-jaga kerana pada masa kini, terdapat pelbagai aplikasi yang ditawarkan kepada orang ramai bagi tujuan untuk mencuri maklumat pengguna lain.

sumber : sinarharian.com.my/

Wednesday, 11 November 2015

Bas RapidKL Terbakar Di Petaling Jaya

 
Gambar sekadar hiasan

KUALA LUMPUR: Sebuah bas RapidKL terbakar di Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada Rabu.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Mustada Silong berkata kejadian berlaku 7.30 pagi ketika kira-kira 20 penumpang berada di dalam bas. 

Para penumpang bagaimanapun selamat. 

"Kebakaran bermula di bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian lain. Namun kebakaran dapat dikawal 20 minit kemudian," katanya. 

Jurucakap Prasarana berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas di bahagian enjin. - BERNAMA 

sumber : mstar.com.my/

Fenomena "Baby Nanas"

Baby nanas kini menjadi kegemaran masyarakat Malaysia kerana ia rangup, manis, kecil dan boleh dimakan begitu sahaja.

AKHIR-AKHIR ini laman sosial Facebook banyak dibanjiri gambar-gambar nanas dalam saiz agak kecil berbanding nanas sedia ada. 

Nanas yang lebih sinonim dengan rasa masam manis dan tajam mungkin tidak berapa digemari sesetengah pengguna. 

Namun, 'baby nanas' menjadi fenomena dan popular serta digemari kerana rasanya manis, rangup dan boleh dimakan begitu sahaja. 

Baby nanas ini berasal dari Thailand dan dikenali dengan pelbagai nama seperti nanas Chiang Mai, baby nanas madu dan baby pine. 

Bekalan nanas ini, rata-rata diperoleh dari Kelantan berikutan lokasinya berdekatan negara gajah putih itu.
Bermula dari Kelantan, fenomena nanas ini menular sehingga ke negeri-negeri lain dan secara tidak langsung mampu membantu menjana pendapatan sampingan kepada peniaga memandangkan baby nanas ini menjadi trend dan popular orang ramai.

Suka kerana unik dan manis


Bagi seorang pembeli baby nanas, Nurazizah Mat Salleh berkata, dia menyukai baby nanas kerana rasanya yang manis, rangup dan tidak masam. 

Menurutnya, baby nanas sangat popular di Kelantan dan kini menular ke seluruh negeri. 

"Apabila kita makan nanas biasa, ia pasti ada rasa gatal tetapi baby nanas tidak. 

"Ia sangat manis dan sekali makan tidak akan puas, pasti mahu makan lagi," katanya. 

Nurazizah merupakan pelanggan tetap baby nanas berkata, dia membeli baby nanas sebanyak dua hingga tiga kali sejak September lalu dengan harga RM12 mengikut paket. 

Bagi Siti Bidayatul Mohd Yatim pula, keinginan merasa baby nanas itu menyebabkan dia sanggup membeli baby nanas dengan harga sehingga RM35 sekilo berbanding RM25 sekilo di pasaran. 

"Memang mahal tapi sebab keinginan nak rasa baby nanas tu saya beli sahaja bukan makan selalu pun," katanya. 

Mengulas keenakan rasa baby nanas itu, Siti Bidayatul berkata, memang manis tetapi tidak boleh makan banyak kerana boleh menyebabkan lelangit menjadi pedih. 

Berlainan pula dengan Siti Fatimah Arif, dia membeli baby nanas selepas terpengaruh dengan gambar-gambar viral di laman sosial. 

"Saya lihat sahaja gambar baby nanas itu sudah pasti kecur air liur dibuatnya. 

"Jadi saya terus beli dan selepas memakannya dan merasa sendiri rasanya. Saya puas hati," katanya.

Namun, rasanya yang sangat manis itu menyebabkan dia tidak membelinya lagi kerana dia bukannya seorang yang suka memakan makanan yang manis.

Bekalan semakin kurang


Bekalan baby nanas semakin berkurangan berikutan permintaan tinggi daripada pembeli seluruh negara.

Penjual baby nanas di sekitar Klang, Wan Mahiran Wan Md Yusoff berkata, dia terpaksa memberhentikan tempahan daripada pelanggan berikutan bekalan  tidak mencukupi. 

"Permintaan di kawasan ini meningkat. Setiap minggu saya mengambil bekalan baby nanas sebanyak 150 kilogram daripada pembekal di Kelantan. 

"Bagaimanapun, bekalan itu tetap tidak mencukupi berikutan permintaan daripada pelanggan," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini. 

Dia mula menjual baby nanas sejak dua tiga bulan lalu selepas melihat ada permintaan tinggi sekitar Lembah Klang. 

Katanya, pelanggannya terdiri daripada penduduk  sekitar Klang, Shah Alam dan Ampang. 

Wan Mahiran yang hanya berniaga secara sambilan berkata, setiap bulan dia mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000. 

"Baby nanas sememangnya dikenali di Kelantan kerana sekarang adalah musim baby nanas di Thailand.

"Mungkin dua atau tiga bulan ini, ia habis," katanya. 

Wan Mahiran menjual baby nanas ini dengan harga sekilo RM25 dan RM12 bagi tiga atau empat biji baby nanas. 

sumber : sinarharian.com.my/