Wednesday, 11 November 2015

Fenomena "Baby Nanas"

Baby nanas kini menjadi kegemaran masyarakat Malaysia kerana ia rangup, manis, kecil dan boleh dimakan begitu sahaja.

AKHIR-AKHIR ini laman sosial Facebook banyak dibanjiri gambar-gambar nanas dalam saiz agak kecil berbanding nanas sedia ada. 

Nanas yang lebih sinonim dengan rasa masam manis dan tajam mungkin tidak berapa digemari sesetengah pengguna. 

Namun, 'baby nanas' menjadi fenomena dan popular serta digemari kerana rasanya manis, rangup dan boleh dimakan begitu sahaja. 

Baby nanas ini berasal dari Thailand dan dikenali dengan pelbagai nama seperti nanas Chiang Mai, baby nanas madu dan baby pine. 

Bekalan nanas ini, rata-rata diperoleh dari Kelantan berikutan lokasinya berdekatan negara gajah putih itu.
Bermula dari Kelantan, fenomena nanas ini menular sehingga ke negeri-negeri lain dan secara tidak langsung mampu membantu menjana pendapatan sampingan kepada peniaga memandangkan baby nanas ini menjadi trend dan popular orang ramai.

Suka kerana unik dan manis


Bagi seorang pembeli baby nanas, Nurazizah Mat Salleh berkata, dia menyukai baby nanas kerana rasanya yang manis, rangup dan tidak masam. 

Menurutnya, baby nanas sangat popular di Kelantan dan kini menular ke seluruh negeri. 

"Apabila kita makan nanas biasa, ia pasti ada rasa gatal tetapi baby nanas tidak. 

"Ia sangat manis dan sekali makan tidak akan puas, pasti mahu makan lagi," katanya. 

Nurazizah merupakan pelanggan tetap baby nanas berkata, dia membeli baby nanas sebanyak dua hingga tiga kali sejak September lalu dengan harga RM12 mengikut paket. 

Bagi Siti Bidayatul Mohd Yatim pula, keinginan merasa baby nanas itu menyebabkan dia sanggup membeli baby nanas dengan harga sehingga RM35 sekilo berbanding RM25 sekilo di pasaran. 

"Memang mahal tapi sebab keinginan nak rasa baby nanas tu saya beli sahaja bukan makan selalu pun," katanya. 

Mengulas keenakan rasa baby nanas itu, Siti Bidayatul berkata, memang manis tetapi tidak boleh makan banyak kerana boleh menyebabkan lelangit menjadi pedih. 

Berlainan pula dengan Siti Fatimah Arif, dia membeli baby nanas selepas terpengaruh dengan gambar-gambar viral di laman sosial. 

"Saya lihat sahaja gambar baby nanas itu sudah pasti kecur air liur dibuatnya. 

"Jadi saya terus beli dan selepas memakannya dan merasa sendiri rasanya. Saya puas hati," katanya.

Namun, rasanya yang sangat manis itu menyebabkan dia tidak membelinya lagi kerana dia bukannya seorang yang suka memakan makanan yang manis.

Bekalan semakin kurang


Bekalan baby nanas semakin berkurangan berikutan permintaan tinggi daripada pembeli seluruh negara.

Penjual baby nanas di sekitar Klang, Wan Mahiran Wan Md Yusoff berkata, dia terpaksa memberhentikan tempahan daripada pelanggan berikutan bekalan  tidak mencukupi. 

"Permintaan di kawasan ini meningkat. Setiap minggu saya mengambil bekalan baby nanas sebanyak 150 kilogram daripada pembekal di Kelantan. 

"Bagaimanapun, bekalan itu tetap tidak mencukupi berikutan permintaan daripada pelanggan," katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini. 

Dia mula menjual baby nanas sejak dua tiga bulan lalu selepas melihat ada permintaan tinggi sekitar Lembah Klang. 

Katanya, pelanggannya terdiri daripada penduduk  sekitar Klang, Shah Alam dan Ampang. 

Wan Mahiran yang hanya berniaga secara sambilan berkata, setiap bulan dia mampu menjana pendapatan sehingga RM2,000. 

"Baby nanas sememangnya dikenali di Kelantan kerana sekarang adalah musim baby nanas di Thailand.

"Mungkin dua atau tiga bulan ini, ia habis," katanya. 

Wan Mahiran menjual baby nanas ini dengan harga sekilo RM25 dan RM12 bagi tiga atau empat biji baby nanas. 

sumber : sinarharian.com.my/

No comments: