Thursday, 12 November 2015

Dana 2.6B: SPRM Akan Ambil Keterangan Najib (Pelaku rasuah tidak boleh “Bersembunyi” selamanya)

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed

JOHOR BAHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat berhubung siasatan mengenai SRC International dan dana RM2.6 bilion yang diterima beliau. 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata pihaknya sudah menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan Perdana Menteri sudah bersetuju untuk diambil keterangan. 

“SPRM sedang menunggu tarikh untuk menemu bual beliau (Najib) bagi memberi penjelasan berhubung isu-isu yang berkaitan siasatan,” katanya. 

Abu Kassim berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 16 Bil. 2/2014 (Penolong Penguasa Gred P29) dan Siri 17 Bil. 3/2014 (Penguasa Gred P41) di sini hari ini. 

Abu Kassim berkata SPRM menyasarkan untuk melengkapkan siasatan kes SRC International sebelum akhir tahun ini dengan syarat badan itu boleh mengakses kepada dua pengarah SRC International iaitu saksi penting yang masih berada di luar negara dan diambil keterangan mereka. 

“Pun begitu ia tidak menghalang SPRM daripada memanggil Najib untuk diambil keterangan,” kata Abu Kassim. 

Menurutnya SPRM menjalankan siasatan merangkumi kesemua aspek dan pegawai SPRM sedang bekerja keras untuk menyiapkan kertas siasatan mengikut tempoh masa yang disasarkan. 

Mengenai siasatan dana RM2.6 bilion, SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kerana kebanyakan transaksi berlaku di luar negara dan ini memerlukan proses Mutual Legal Assistance (MLA), kata beliau. 

“SPRM memerlukan masa untuk mendapatkan kerjsama beberapa pihak di luar negara,” kata Abu Kassim.
Beliau berkata sementara SPRM berhasrat menyelesaikan siasatan isu SRC International dan dana RM2.6 bilion dengan segera, namun badan itu tidak akan berkompromi dari segi kepentingan bukti dan saksi-saksi penting. 

SPRM akan memaklumkan status siasatan dari masa ke semasa kepada badan-badan bebas yang memantau perjalanan SPRM, katanya. 

Beliau seterusnya berkata sebagai sebuah suruhanjaya bebas, SPRM mengambil kira harapan semua pihak termasuk kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu pada awal Oktober. 

“SPRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan dengan bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009,” katanya. – BERNAMA 


mynewshub.cc/

No comments: