
Ular sawa 120 kilogram sepanjang lapan meter yang
berjaya ditangkap di Kampung Kelulut, Jom Solat malam kelmarin.
MARANG - Masalah ternakan penduduk terutama ayam yang sering hilang berakhir
malah kebimbangan serta tanda tanya terjawab apabila seekor ular sawa gergasi
sepanjang lapan meter berjaya ditangkap di Kelulut, malam kelmarin.
Ular sawa seberat 120 kilogram itu berjaya ditangkap sekumpulan empat
anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Marang dalam keadaan
kekenyangan selepas menelan beberapa ayam milik penduduk kampung.
Ketua operasi, Koperal Nik Mohd Firdaus Nik Riduan, 26, berkata, pihaknya
menerima panggilan selepas penduduk mengadu menemui reptilia tersebut pada jam
10 malam.
“Sebaik kami tiba, ular sawa gergasi itu bersembunyi dalam reban ayam.
Ketika itu, berdasarkan lingkaran lilitannya, kami percaya ia reptilia paling
besar pernah dilaporkan ditemui penduduk pada tahun ini.
“Selepas didekati, kami dapati ular tersebut dalam keadaan kekenyangan,”
katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat JPAM Marang, semalam.
Menurutnya, dia bersama tiga lagi anggota mengambil masa 30 minit untuk
mengeluarkan ular itu dari dalam reban ayam ke kawasan lapang sebelum berjaya
memasukkannya ke dalam sangkar khas yang disediakan.
Menurutnya, dengan penangkapan ular sawa itu, penduduk Kampung Kelulut kini
tidak perlu lagi bimbang kehilangan haiwan ternakan.
Difahamkan, reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan
Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri tidak lama lagi.
sumber : sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment