Tuesday 10 November 2015

Selesai isu 1MDB, RM2.6b sebelum bahas TPP

Nurul Izzah 

SHAH ALAM - Siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB dan derma RM2.6 bilion perlu dimuktamadkan dahulu sebelum kandungan teks perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dibahaskan di Parlimen.

Demikian kata Ahli Parlimen Lembah Pantai), Nurul Izzah Anwar sambil menegaskan beliau akan meminta Parlimen menyelesaikan dua isu tersebut sebelum perjanjian perdagangan itu dibuka untuk perdebatan.

"Saya akan membawa dua usul ke Parlimen supaya siasatan PAC ke atas 1MDB dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas derma RM2.6 bilion kononnya untuk PRU13 diselesaikan terlebih dahulu sebelum membahaskan TPP.

"Isu-isu ini di penting, kerana ia akan memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya berharap Speaker akan membenarkan usul ini diteruskan dan dibahas di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas pendedahan semua kandungan perjanjian TPP kepada masyarakat umum oleh Kementerian Perdagangan dan Antarabangsa (Miti), pada Khamis.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah selaku Naib Presiden PKR juga berkata, artikel perjanjian TPP yang dikeluarkan kerajaan Amerika Syarikat, New Zealand dan Malaysia menuntut negara ahli supaya patuh kepada Bab 26 mengenai Ketelusan dan Pencegahan Rasuah

"Malaysia juga perlu mematuhi Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) dan APEC 2007 Prinsip Kelakuan untuk Pegawai Awam khususnya UNCAC Bab III," ujarnya.

Menurut Nurul Izzah lagi, Parlimen tidak boleh lagi menjadi "rubber stamp" untuk menghalalkan segala tindakan kerajaan tanpa mengambil kira kesan yang lebih besar daripada keputusan rakyat.

"Tidak mungkin Malaysia boleh mula membahaskan perjanjian TPP itu, jika kita belum pun mula memberi laluan kepada kami untuk menyelesaikan krisis terbesar keyakinan bahawa Kerajaan Malaysia pernah dihadapi," katanya lagi.

sumber : sinarharian.com.my/

No comments: