Friday 7 February 2014

Ringgit jatuh RM2.624 berbanding dolar Singapura


Ringgit Malaysia mencecah rekod paling rendah berbanding dolar Singapura awal minggu ini, dengan matawang lain di rantau ini masih lemah.

Penganalisis berkata, ini disebabkan oleh aliran modal daripada pasaran membangun ke pasaran maju.
Akhbar Straits Times Singapura melaporkan rekod terendah ini dipecahkan hanya tiga hari selepas Malaysia mencapai rekod terendah RM2.622 Khamis lalu dan berada pada RM2.6207 semalam.

Ringgit semakin jatuh bukan disebabkan dolar Singapura semakin kuat, tetapi kerana aliran modal yang tinggi daripada pasaran yang masih membangun ke pasaran maju, kata pakar yang dipetik daripada akhbar aliran perdana itu.

"Keseluruhannya, daripada segi kekukuhan kewangan, Singapura dilihat sebagai lebih kukuh. Oleh itu mata wang kita dilihat semakin rendah berbanding dolar Singapura," kata Pengurus Besar Fundsupermart, Wong Sui Jau. Penganalisis mata wang daripada Oanda, Wu Mingze, berkata:"Daripada segi dasarnya, Malaysia kelihatan tidak hebat. Tetapi ia tetap lebih baik berbanding Thailand, Filipina dan Vietnam."

Beliau berkata, walaupun Malaysia semakin menghampiri defisit akaun pertengahan tahun lalu, lebihan daripada dagangan Malaysia sedang meningkat dan boleh membantu negara.

Baht Thailand dan Rupiah Indonesia paling terkesan dengan aliran modal besar ini. Terkini, Sedolar Singapura dibeli dengan 26.86 Baht iaitu 9,611 rupiah Indonesia. Penganalisis berkata, setakat ini mereka masih belum dapat memastikan berapa lama lagi tempoh matawang itu akan kekal lemah.

Bagaimanapun, Wu berkata, melihat kepada beberapa pusingan pasaran lalu, bank pusat Malaysia perlu campur tangan jika ringgit terus jatuh sehingga serendah RM3.80 berbanding dolar Amerika.
Hari ini, USD1 dibeli pada nilai RM3.33.

Wong berkata, matawang Asia terpaksa menempuhi ketidakstabilan itu sehingga keyakinan muncul semula.
“Sukar untuk menjangkakan bila kita akan jatuh hingga ke bawah. Tetapi, keyakinan akan kembali dan matawang boleh naik semula dengan cepat,” katanya.

Beberapa syarikat berpendapat ringgit yang lemah tidak akan menjejaskan perniagaan mereka.
Mike Lim, pengarah eksekutif syarikat pembotolan, Dr Who yang mengimport bahan daripada Singapura berkata, ringgit yang lemah boleh dilihat sebagai pelindung terhadap kenaikan kos kehidupan di Malaysia.
"Tetapi kita tidak meramalkan ia akan kekal lemah untuk masa yang lama," katanya. – 7 Februari, 2014.

sumber dipetik dari:-http://my.news.yahoo.com/ringgit-jatuh-rm2-624-berbanding-dolar-singapura

No comments: