Friday 28 February 2014

Untung sebelum cukai CIMB naik kepada RM5.85b

KUALA LUMPUR - Untung sebelum cukai CIMB Group Holdings Bhd untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 meningkat kepada RM5.85 bilion berbanding RM5.64 bilion pada 2012.
 
Pendapatan meningkat kepada RM14.67 bilion berbanding RM13.49 bilion sebelumnya, kata penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Untuk suku keempat, untung sebelum cukainya merosot kepada RM1.36 bilion berbanding RM1.37 bilion dalam tahun kewangan 2012, manakala hasil naik kepada RM3.8 bilion daripada RM3.37 bilion.

Bank itu berkata, suasana operasi pada 2013 lebih mencabar daripada dijangka, terutama di Indonesia dan pasaran kewangan serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Nazir Razak, berkata walaupun sumbangan daripada CIMB Niaga merosot, bahagian lain telah menunjukkan prestasi menggalakan.

Nazir berkata, kumpulan itu akan terus berkembang pesat di Malaysia, Singapura dan memulihkan momentum di Indonesia.

Di Thailand, katanya, kumpulan berkenaan perlu lebih fokus dan tangkas untuk mengharungi suasana yang tidak menentu. - Bernama

No comments: