Thursday, 25 September 2014

Agihan pendapatan AS1M 6.60 sen seunit

AHMAD Sarji Abdul Hamid (kiri) bersama Hamad Kama Piah Che Othman memegang plag pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1 Malaysia (AS1M) sebanyak 6.60 sen seunit berbanding 6.70 sen tahun lalu bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2014.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran sebanyak RM664.22 juta, 13 peratus lebih tinggi daripada jumlah pembayaran tahun sebelumnya berjumlah RM587.77 juta.

Katanya, pengagihan pendapatan berkenaan akan dimanfaatkan oleh seramai 376,631 pemegang unit yang telah melanggan 10.22 bilion unit AS1M. "Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan AS1M," katanya pada majlis pengumuman pengagihan pendapatan AS1M di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Pembayaran pengagihan pendapatan tabung AS1M akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun para pemegang unit pada 1 Oktober ini.

Semua urus niaga bagi tabung AS1M di pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 25 hingga 30 September ini. Para pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan AS1M masing-masing mulai 1 Oktober ini. Dalam perkembangan lain, Hamad Kama Piah berkata, kerja-kerja pemasangan cerucuk Menara Warisan Merdeka yang sedang dijalankan ketika ini berada pada tahap 35 peratus dan dijangka siap pada suku ketiga 2015.

"PNB sedang menilai senarai kontraktor yang memohon dan tender bagi kontrak projek ini akan diagihkan pada suku akhir tahun ini," katanya.

sumber : http://utusan.com.my/

No comments: