Monday, 22 September 2014

Aiskrim buatan Muslim

MENYEDARI kurangnya syarikat Muslim yang menjual aiskrim di pasaran tempatan, Ruslina Mohd Lazim, mengambil langkah memperkenalkan ais krim jenama ParaBella.

Berdiri di bawah syarikat Bumimasa Sdn Bhd aiskrim ParaBella kini sudah dua tahun berada dalam pasaran tempatan sejak Februari 2012.
Ruslina juga merupakan Pengarah Pentadbiran dan Kewangan Bumimasa berkata, ParaBella di sasarkan kepada golongan Muslim dalam menyediakan ais krim yang di jamin halal.
“Di awal perniagaan kami melaburkan sebanyak RM500,000 bagi menyediakan dua jenis variasi ais krim iaitu ais krim premium dan biasa termasuk dengan mesin memproses ais krim.

“Buat masa ini aiskrim ParaBella boleh didapati di rangkaian kedai runcit Melayu Muslim Az-Zain seluruh negara dan kedai runcit Islam lain di sekitar Lembah Klang,” katanya ketika ditemui semasa Halal Fiesta Malaysia (Halfest) 2014 di Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ditanya mengenai permintaan orang ramai, Ruslina berkata, buat masa ini permintaan pelanggan meningkat dari semasa ke semasa terutamanya dari Kuala Lumpur dan Selangor.

“Tetapi kami tidak mampu memenuhi permintaan tersebut memandangkan pengeluaran dan logistik kami agak terhad buat masa ini.

“Oleh itu kami turut menyediakan pakej runcit kepada peniaga untuk meletakkan peti sejuk aiskrim ParaBella di kedai mereka,” katanya.
Ruslina turut menambah permintaan aiskrim ParaBella di lihat meningkat sedikit rentetan isu boikot oleh pengguna Muslim kebelakangan ini.

“Mungkin pengguna sekarang semakin sedar bahawa masih ada produk buatan Muslim di luar yang terjamin halal dan selamat untuk dimakan serta membantu sesama Muslim,” katanya.

Bagi aiskrim premium ParaBella boleh didapati melalui enam perasa seperti vanila, coklat dan lain-lain pada harga RM2 setiap sudu menggunakan kon, manakala bagi aiskrim biasa pada harga bermula RM1 hingga RM2.50.

Bumimasa juga sedang melakukan kajian dan penyelidikan (R&D) dalam menyediakan aiskrim berperisa durian bagi pasaran eksport.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/
oleh :

No comments: