Sunday 23 August 2015

Bagaimana Orang Kaya Bermula


Antara Mereka Yang Perlu Dicontohi

Tan Sri Dato’ Loh Boon Siew 

Dilahirkan di Hui-An, Daerah Fujian, China dan pada mulanya hanyalah merupakan seorang pelatih mekanik kereta. Untuk menambah pendapatan, beliau akan mengambil upah membasuh bas dengan bayaran 10 sen sebuah. Loh mula mengumpul duit sejak kecil dan pada ketika berusia 18 tahun, Loh membeli 11 unit bas dengan menggunakan simpanan RM2,000. Bas-bas tersebut kemudian dijualnya dengan harga RM12,000 sebuah. Keuntungan yang diperoleh tidak dibelanjakan sesuka hati, tetapi digunakan untuk mengembangkan perniagaannya. Beliau kemudiannya membeli pula 39 unit bas yang lain. 

Pada tahun 1958, Loh mengambil keputusan untuk menceburi bidang kenderaan bermotor. Matlamat utamanya adalah merevolusikan industri permotoran Malaysia. Loh kemudiannya mengatur perjumpaan dengan Mr. Soichiro Honda, seorang pencipta motosikal yang terkenal dengan ideanya untuk mewujudkan pengangkutan bermotor yang berkesan untuk orang ramai. Dalam perbincangan yang dibuat bersama, kata sepakat telah dipersetujui dan selang beberapa tahun kemudian, sebuah kilang Honda mula dibuka di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang bagi memasang Honda Cub dan motosikal Honda telah dinamakan semula sebagaiBoon Siew Honda. Baru-baru ini, Boon Siew Honda telah membuka kilang baru di bernilai RM200 juta di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang dan beroperasi sebagai pusat pengeluaran, jualan, servis dan alat ganti motosikal.

Tan Sri Syed Mokhtar 

Dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Beliau lahir dalam keluarga yang besar dan hidup serba kekurangan. Rumah yang didiami sangat usang dan tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Tan Sri Syed Mokhtar tidak mendapat pendidikan yang tinggi, dan mendapat ilmunya melalui pengalaman yang diperolehnya dalam menjalankan perniagaan sejak kecil lagi. Beliau membantu ibunya menanam sayur-sayuran, menjual sayurannya di pasar dan menjual roti canai di pasar yang sama. Beliau juga turut menggembala haiwan peliharaan bapanya semata-mata untuk membantu menampung perbelanjaan keluarganya. Terlalu banyak cabaran yang beliau hadapi antaranya apabila perniagaan haiwan ternakannya mengalami kemerosotan akibat wabak kaki dan mulut. Ia memberikan kesan yang sangat buruk kepadanya sehingga beliau mengambil keputusan untuk tidal lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan dengan membeli daging yang tidak terjual di pasar, membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. 

Setelah berasa lebih yakin dengan dirinya sendiri, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan dengan melakukan jual beli kenderaan berat. Selain itu, beliau juga turut berkecimpung dalam perdagangan beras dan juga komoditi lain seperti gula, teh, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Tan Sri Syed Mokhtar juga gemar mencuba sesuatu yang baru. Ini terbukti apabila beliau menceburi bidang pembuatan pakaian, perkapalan, kejuruteraan, pembinaan, automobil dan perkhidmatan pos. Sehingga kini Forbes Magazine telah mengiktiraf Tan Sri Syed Mokhtar sebagai usahawan ke-526 terkaya di dunia dan yang ke-8 terkaya di Malaysia.


No comments: