Kuala Lumpur: Bapa binatang. Itu perumpamaan tepat terhadap perbuatan jijik
seramai 653 bapa yang tergamak menjadikan anak perempuan mereka sebagai ‘alat’
pemuas nafsu.
Golongan lelaki merogol darah daging sendiri itu dikesan terus meningkat
saban tahun berdasarkan statistik dikumpulkan pihak polis.
Berdasarkan statistik dikeluarkan Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak
(D11) Bukit Aman, kesalahan sumbang mahram membabitkan bapa kandung
‘menyumbang’ kes tertinggi apabila mencatatkan 341 kes sejak tahun 2011 hingga
2015.
Daripada jumlah itu, kes tertinggi dicatatkan pada 2014 apabila 84 kes
perkosa anak dilaporkan kepada polis diikuti 53 kes pada tahun lalu.
Selain itu 312 kes perkosa anak tiri dilaporkan kepada polis sepanjang
tempoh lima tahun lalu dengan angka tertinggi dicatatkan pada 2014 (79 kes).
Majoriti mangsa pelajar peringkat menengah rendah berusia antara 13 hingga
15 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11)
Asisten Komisioner Ong Chin Lan berkata, anak adalah insan amat memerlukan
perhatian dan kasih sayang daripada ahli keluarga sendiri dan perbuatan bapa
kandung atau bapa tiri itu amat dikesali.
“Tindakan tidak bermoral ini mendatangkan banyak kesan negatif terhadap diri
mangsa. Apa yang membimbangkan masa depan anak yang menjadi mangsa serangan
seksual oleh ahli keluarga sendiri.
“Mereka lebih mudah terjerumus ke dalam kancah negatif dan jenayah lain
termasuk gejala dadah kerana kekecewaan yang dialami,” katanya.
Walaupun jumlah ini masih berada di paras terkawal, namun polis sentiasa
memberi perhatian serius terhadap kes jenayah sumbang mahram ini.
“Kejadian ini membawa kesan buruk kepada perkembangan emosi seseorang anak.
Mangsa juga berasa kemerosotan harga diri, reaksi emosi seperti marah, rasa
bersalah, sedih atau kemurungan, rasa terpinggir, gangguan fizikal dan banyak
lagi,” tegasnya.
Ong berkata, gangguan seksual menyebabkan kesan trauma kepada perkembangan
anak dan selalunya mangsa tidak mempunyai rakan yang ramai, kurang bercita-cita
dan rendah penghargaan kendiri.
“Masalah penderaan seksual terhadap kanak-kanak harus dibendung kerana
gejala itumeruntuhkan institusi sesebuah masyarakat.
“Pelbagai langkah perlu diambil seperti mengadakan pelbagai kempen kesedaran
pentingnya institusi kekeluargaan,” tegasnya. - hmetro.com.my/
No comments:
Post a Comment