Tuesday 8 March 2016

Video: Lelaki Amuk Ditahan, Hasrat "Tidur Balai" Tertunai

HANYA kerana permintaannya untuk tidur di balai polis tidak dilayan, seorang pemuda bertindak agresif dengan mengamuk dan menyerang anggota di Balai Polis Bukit Payong, Marang, awal pagi semalam (7 Mac).

Menerusi video yang kini giat dikongsikan di media sosial, kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi itu melibatkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang pada mulanya datang bersama seorang rakan bagi menemani dirinya yang ingin tidur di balai polis berkenaan.

Menerusi rakaman, kedengaran pertuturan dialek Terengganu daripada suspek yang begitu marah terhadap anggota polis berkenaan.

Beruk! Cakap, hei lawan aku, aku kohok mu mati mu, ba** ape? Ok takpe mu tak bagi aku tido sini, wei aku penghulu!” pekik suspek seperti kedengaran di dalam video.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek meminta kebenaran seorang anggota polis yang bertugas untuk tidur di balai atas alasan nyawanya terancam.

“Sebaik masuk ke dalam balai, suspek yang berasal dari Bukit Payong itu tiba-tiba mengamuk dan memaki hamun anggota yang bertugas dengan mengeluarkan kata-kata kesat sambil menolak komputer di atas kaunter hingga jatuh.

“Anggota berkenaan cuba menenangkan suspek namun dia terus bertindak liar dengan mengajak anggota tersebut bertumbuk dan meminta pistol milik anggota berkenaan sebelum suspek dan rakannya meninggalkan balai itu,” kata beliau seperti dilaporkan Harian Metro.

Kemudian kira-kira pukul 7.30 pagi, suspek bersama empat lagi rakannya kembali semula ke balai polis dengan salah seorang daripada mereka membawa parang.

Keempat-empat pemuda berusia lingkungan 23 hingga 41 tahun itu bertindak memaki hamun dan mengajak anggota di balai bertumbuk lantas bimbang keadaan tidak terkawal, kelima-lima suspek segera diberkas.

Menurut Wan Abd Aziz, hasil ujian saringan air kencing ke atas semua suspek mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Polis turut merampas sebilah parang dan kesemua suspek yang berasal dari Marang itu direman selama empat hari bermula semalam (7 Mac).

Abd Aziz berkata pihaknya sedang mengenal pasti motif utama kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Berbahaya, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.- mynewshub.cc/


Lelaki Amuk Di Balai Polis Bukit Payong oleh mynewshub

KLIK SISINI SEKIRANYA ANDA BERHAJAT UNTUK MENDAPATKAN PINJAMAN PERIBADI i-ISLAMIC

No comments: