Laman sosial menyifatkan tindakan warga sekolah SK Chabau sebagai sembah
matahari sehingga mengundang rasa kurang senang orang ramai.
JASIN - Tindakan sebuah laman sosial menyamakan solat gerhana matahari
yang didirikan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Chabau di sini, Rabu lalu
sebagai menyembah matahari dianggap amat keterlaluan.
Pengerusi MAYC Jasin, Asrul Khan Sher Jang Khan berkata, sebagai warga
Jasin, mereka kesal pengendali laman sosial mempertikaikan tatacara
solat dilakukan bukan di dalam masjid atau surau, sekali gus menyamakan
tindakan warga sekolah seperti amalan paganism dan agama majusi.
“Tujuan pihak sekolah berkenaan melakukan di kawasan lapang bagi
memberi lebih ramai warga sekolah turut serta dan tidak harus dikritik.
“Situasi itu bukan sahaja mengguris hati warga SK Chabau dan alumni,
malah rakyat Jasin dan negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu Pegawai Tadbir Agama Daerah Jasin, Huzailan Hamzah
berkata, pihaknya baru dimaklumkan hal terbabit setelah ia disebarkan
melalui WhatsApp dan akan meminta pegawainya ke sekolah itu untuk
mendapatkan maklumat.
Menurutnya, beliau terkilan kerana niat baik sekolah itu disalah
tafsir, sedangkan tiada masalah mendirikan solat berkenaan di kawasan
lapang selain dalam masjid atau pun surau.
“Tak ada masalah warga sekolah bersolat di kawasan lapang bukan sahaja di masjid atau surau.
“Saya yakin dan percaya ada sebab pihak sekolah mengadakan solat sunat
gerhana matahari di kawasan lapang, mungkin tiada kawasan yang luas dan
sebagainya.
Rabu lalu, laman sosial terbabit memuat naik status dan gambar warga
sekolah berkenaan mendirikan solat sebagai menyembah matahari.
Gambar itu dipercayai diambil selepas Sinar Harian memuat naik ke laman sosial.
Bagaimanapun, laman terbabit memadamkan status berkenaan selepas orang ramai mengutuk serta mengkritik tindakan pengendalinya. - sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment