KOTA BHARU - Seorang surirumah merayu agar pihak berkuasa dapat
melakukan siasatan segera bagi menuntut keadilan selepas mengalami kerugian
RM175,000 ekoran ditipu sebuah syarikat pelaburan.
Mangsa, Siti
Zuraida Awang, 36, berkata, melalui pelaburan itu syarikat berkenaan yang
diperkenalkan tiga kenalan rapatnya, menjanjikan imbuhan RM3.5 juta yang turut
diyakinkan dengan dokumen kejayaan dan pulangan yang telah dirasai oleh
kenalannya.
“Ekoran itu, saya
turut mengeluarkan simpanan selain meminjam wang ibu dan ayah serta
adik-beradik yang lain dan berjaya meyakinkan mereka bahawa skim pelaburan ini
merupakan yang terbaik dan memberi pulangan modal yang banyak melalui jumlah
modal yang dilaburkan," katanya.
Siti Zuraida berkata, dia dijanjikan pulangan keuntungan sebanyak RM3.5
juta hasil daripada pelaburan tersebut.
Selain itu, mereka
kata sebagai ahli, saya boleh mengeluarkan sebanyak 10 peratus iaitu kira-kira
RM350, 000 daripada jumlah keseluruhan.
"Namun, janji
hanya tinggal janji apabila saya tidak mendapat sebarang keuntungan. Malah
akaun saya di dalam syarikat itu telah dibekukan, kira-kira 80 ahli lain juga
dipercayai gagal mendapatkan pulangan mereka," katanya ketika ditemui di
sini, hari ini.
Bekas
penjawat awam itu juga berkata, syarikat tersebut mula membuat helah apabila
memaklumkan untuk mendapatkan keuntungan tersebut mereka perlu mencari lebih
ramai orang untuk melabur dengan pelaburan paling rendah RM4,500.
"Keadaan ini
membuatkan saya benar-benar tertekan kerana untuk mendapatkan modal tersebut
saya telah menggadaikan barangan kemas, selain lima beradik serta ibu bapa
turut menyumbangkan wang pelaburan.
"Pihak
syarikat kini hanya memulangkan wang kira-kira RM100,000 dan ini jauh lebih
rendah daripada modal yang dikeluarkan saya. Melalui maklumat yang saya dapat
kira-kira 80 ahli lain yang sama kumpulan dengan saya turut mengalami masalah
sama," katanya.
Menyedari dirinya
telah ditipu, dia telah membuat dua laporan polis berhubung perkara tersebut
selepas berasa dirinya diperdaya oleh syarikat tersebut yang mempunyai ribuan
ahli di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
"Saya amat
berharap syarikat terbabit memulangkan wang pelaburan serta mengikuti
perjanjian yang dijanjikan oleh mereka," katanya.
sumber : sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment