Monday, 28 April 2014

35,000 peluang kerja menerusi syarikat multinasional

Kuala Lumpur: Syarikat multinasional yang beroperasi di Cyberjaya membuka sehingga 35,000 peluang pekerjaan untuk pekerja berkemahiran tinggi atau Knowledge Worker (K-Worker) dengan 15 peratus daripadanya berkhidmat dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat.

Pengarah Urusan Cyberview Faris Yahaya berkata, sehingga April tahun ini, terdapat sehingga 43 syarikat dan organisasi multinasional menjalankan operasi di Cyberjaya dengan 21 daripadanya dari Amerika Syarikat.

“Pelaburan dibuat syarikat ini yang sebahagian besarnya dari sektor teknologi mencatatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.52 bilion. “Kami giat menarik pelaburan berasaskan teknologi, berkemahiran-intensif, memerlukan pengetahuan tinggi dan boleh menyumbang kepada harta intelek negara,” katanyakepada Bisnes Metro, semalam.

Daripada 21 syarikat berkenaan, 75 peratus mewakili syarikat berasaskan teknologi maklumat, perkongsian dan penyumberan luar (SSO) (14 peratus) dan kreatif multimedia (11 peratus).

Menurutnya, dengan pertambahan syarikat yang terus melabur di Malaysia khususnya Cyberjaya, ia secara tidak langsung membawa nilai tambahan kepada ekosistem di Cyberjaya.
“Faedah diterima berlipat ganda dan saling melengkapi dengan ekosistem mikro lain yang sedia ada di sini. Contoh paling baik adalah usahawan tempatan yang terdapat di Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC).

“Selain menambah pelaburan dalam negara, kemasukan syarikat ini juga dapat memberi kelebihan lain kepada rakyat tempatan khususnya pemindahan kemahiran teknologi tinggi, merapatkan jurang digital, menaik taraf status ekonomi dan sosial rakyat serta pewujudan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya.

sumber dari : http://www.hmetro.com.my/myMetro/

Najib, Obama lancar Magic di Cyberjaya

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama melihat go-kart elektrik hasil syarikat Dream Edge Racing sempena pelancaran Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (Magic) di Cyberjaya hari ini. - Foto Bernama

CYBERJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama hari ini melancarkan secara rasmi Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (Magic) di sini.

Obama, yang dalam lawatan tiga hari ke Malaysia, singgah di Cyberjaya bagi mendengar taklimat mengenai Magic, yang beliau sifatkan sebagai bukti kepada kerjasama penting Malaysia-AS.

Pemimpin Amerika Syarikat itu meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu dan berbual dengan pelajar dan usahawan muda terpilih.

Dalam ucapannya, Obama berkata Malaysia dan AS mempunyai komitmen bersama untuk menggalakkan keusahawanan terutamanya dalam kalangan golongan muda.

"Kami mahu anda dapat mewujudkan benda-benda dan memulakan syarikat anda sendiri dan perniagaan, dan menghasilkan produk dan perkhidmatan anda sendiri kerana itulah cara masyarakat kita berkembang.

"Impian dan bakat anak-anak muda ini membantu menjana ekonomi kita dan mewujudkan peluang pekerjaan dan mereka juga merapat negara-negara," kata Obama.

Beliau berkata, di seluruh dunia, Amerika Syarikat telah membantu usahawan muda menghubung dan bekerjasama dan memulakan perniagaan mereka sendiri, berkhidmat kepada masyarakat mereka, menangani cabaran global seperti pendidikan dan perubahan iklim dan Magic boleh mengubah idea-idea menjadi realiti.

Penubuhan MaGIC diumumkan Najib pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Global (GES) tahun lepas di Kuala Lumpur.

GES diilhamkan oleh Obama sendiri tetapi Presiden itu tidak dapat menghadiri sidang kemuncak berkenaan pada Oktober lepas kerana beliau perlu menangani isu penutupan sebahagian operasi kerajaan persekutuan AS.

"Saya bangga menjadi tuan rumah GES pertama di Washington. GES keempat diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas dan kesan yang diterima adalah luar biasa. Pusat ini merupakan hasil secara langsung sidang kemuncak itu yang dihoskan Perdana Menteri Najib," kata Obama.

Beliau berkata kerjasama dan perkongsian idea antara AS dan Malaysia terutamanya dalam kalangan golongan anak muda akan diteruskan kuasa internet.

"Saya berharap untuk melihat banyak lagi perkara hebat oada masa depan," kata beliau.

Sementara itu, Najib mengumumkan perkarangan di hadapan bangunan MaGIC akan dikenali sebagai "Obama Oval".

MaGIC bertujuan untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah negara keusahawanan dinamik dengan membolehkan pengusaha tempatan dan antarabangsa memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Pusat ini direka untuk menjadi pusat sehenti untuk usahawan, yang akan menyediakan setiap kemudahan yang diperlukan oleh seorang usahawan, daripada mendapatkan pembiayaan dari bank-bank atau pemodal teroka untuk menyediakan inkubator bagi membangunkan syarikat permulaan untuk memperbaiki produk atau perkhidmatan mereka.

Dengan peruntukkan RM50 juta, pusat itu akan membantu dalam pendaftaran harta intelek dan menawarkan kemudahan untuk latihan dan mentor.

Tambahan RM20 juta juga disalurkan untuk menyokong pembangunan perusahaan sosial.

Sebagai inkubator untuk usahawan muda, MaGIC juga bekerjasama dengan organisasi dan universiti Amerika Syarikat seperti Stanford University dan UP Global untuk memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.  - Bernama

Sunday, 27 April 2014

LKIM sasar RM200j sempena MISE 2014

Irmohizam Ibrahim

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan jualan sebanyak RM200 juta sempena penganjuran Malaysia International Seafood Exposition 2014 (MISE 2014) yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 19 hingga 21 Jun ini.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, penganjuran kali ketiga dan pertama kali diadakan di negara ini melibatkan 300 peserta dalam dan luar negara seperti negara-negara Asia, Pakistan dan China.

Menurutnya, MISE 2014 melibatkan pameran produk perikanan, padanan perniagaan, demonstrasi masakan, pensampelan produk kepada pengunjung dan Persidangan Perdagangan dan Akuakultur (ATC).

“Program ini memberi impak yang baik kerana membuka ruang dan peluang perdagangan makanan laut dan mempromosikan Malaysia sebagai hab makanan laut dan akuakultur di rantau ini dan global.

“Program ini juga membuka peluang kepada peserta khususnya nelayan mengambil inisiatif untuk berubah kepada bidang akuakultur dan pemprosesan makanan laut,” katanya pada sidang media Majlis Prapelancaran MISE 2014, di Kuala Lumpur.

Hadir dan merasmikan program itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Irmohizam berkata, program itu memberikan pelbagai manfaat kepada negara iaitu mempromosi produk perikanan Malaysia ke pasaran antarabangsa dan menggalakkan peluang pelaburan dalam sektor perikanan kepada para pelabur dalam dan luar negara.

“Ia juga memperluas jaringan hubungan di kalangan pengusaha industri perikanan, penyelidik dan pelabur di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai bekalan ikan pada masa depan, Irmohizam berkata, Pusat Penyimpanan Ikan Basah Negara diwujudkan untuk memastikan bekalan ikan mencukupi di pasaran pada musim hujan dan monsun.

“LKIM dan kementerian menyasarkan bekalan 200 tan metrik ikan setahun dan Persatuan Nelayan Kebangsaan disaran mempunyai 100 tan metrik bekalan ikan setahun berbanding hanya 50 tan metrik sedia ada.
“Kita tidak mahu menghadapi situasi bekalan ikan yang dihadapi seperti Disember lalu, kekurangan bekalan ikan menyebabkan harga ikan tinggi dan rakyat menyalahkan Kerajaan meningkatkan harga barang. Sekarang kita membuat persediaan sekiranya stok bekalan ikan tidak mencukupi,” katanya.
Irmohizam berkata, LKIM juga akan menambah bilangan pasar nelayan baharu sebanyak 100 buah dan ia dijangka meliputi seluruh Malaysia menjelang akhir 2015. Sehingga kini LKIM mempunyai 38 buah sahaja.
“LKIM memperuntukkan RM200,000 bagi setiap pembinaan pasar nelayan baharu. Harga ikan yang dijual di Pasar Nelayan adalah 20 peratus lebih murah berbanding harga di pasaran luar,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/