Monday, 12 May 2014

SLK sasar lantik 140 ejen utama

Pengasas Guru Niaga, Ahmad Fadhil Zainal Abidin (kiri) bersama Mohd Noorrizan menunjukkan kaedah lipatan yang digunakan bagi perkhidmatan lipat kain.

SYARIKAT peneraju dalam perkhidmatan Servis Lipat Kain (SLK), Guru Niaga Enterprise menyasarkan untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh negara menerusi pelantikan lebih banyak ejen.

Pengasasnya, Mohd Mohd Noorrizan Mohamad Shafiee berkata, syarikatnya akan melantik 140 ejen utama di seluruh negara sepanjang tahun ini.

“Setakat ini, kami telah mempunyai ejen di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kuantan, Terengganu dan Melaka, serta menerima 80 permohonan untuk menjadi ejen SLK.

“Bagaimanapun, kami akan memilih ejen yang mampu memberi komitmen penuh dan modal permulaan hanya RM100. Namun apa yang paling penting kami akan memberi latihan melipat kain mengikut standard ditetapkan serta mengajar ejen teknik berjumpa pelanggan dan sentiasa membuat susulan dengan mereka,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga dalam perancangan untuk mempelbagaikan lagi perkhidmatan yang ditawarkan seperti semburan pewangi supaya pakaian yang dilipat bukan saja kemas tetapi wangi.

Katanya, Guru Niaga buat masa ini akan memberi tumpuan lebih kepada membina jenama dan kepercayaan orang ramai. Kami yakin SLK akan terus berkembang kerana permintaan terhadap perkhidmatan ini dilihat semakin meningkat setiap hari.

"Kami menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mempunyai 10 ejen SLK di setiap daerah daripada golongan suri rumah dan lepasan sekolah, serta setiap ejen akan melipat lebih 100 kilogram seminggu menjelang akhir tahun ini," katanya.

Mohd Noorizan berkata, hasil maklum balas daripada ejen sedia ada, mereka mampu menjana pendapatan empat angka sebulan dan menerima tempahan sekurang-kurangnya 250 kilogram (kg) pakaian dalam tempoh dua minggu,” katanya yang turut menyifatkan perkhidmatan SLK mampu berkembang maju berikutan faktor ekonomi serta gaya hidup masyarakat masa kini.

Mengulas berhubung perancangan masa depan syarikatnya, Mohd Noorizan berkata, dalam tempoh tujuh bulan lagi pihaknya merancang untuk menubuhkan syarikat perkongsian liabiliti terhad (PLT) supaya selain daripada memperoleh komisen, ejen juga menerima dividen.

Pada masa akan datang, kami juga mahu melatih ejen untuk memberi tumpuan menjalankan SLK berkonsepkan rumah kecil rumah pejabat (SoHo).

Perkhidmatan SLK mengenakan caj RM2 setiap kg kain dan pengambilan adalah percuma.

Guru Niaga Enterprise beribu pejabat di Station 18, Lahat, Ipoh, Perak dan menggunakan medium sosial termasuk Facebook untuk mempromosikan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh negara.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
CONNIE SYLVIE MONICAL

Sunday, 11 May 2014

MH370: waris terima RM14.2 juta

Kuala Lumpur : Syarikat insurans tempatan sudah membayar lebih RM14.2 juta kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Presiden Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Vincent Kwo berkata, memandangkan keadaan yang luar biasa selepas kehilangan pesawat MH370, syarikat-syarikat insurans hayat di Malaysia mengambil pendekatan yang proaktif dalam mempercepatkan proses tuntutan iaitu bayaran pampasan kepada ahli-ahli keluarga penumpang yang mempunyai insurans hayat di dalam pesawat itu.

Menurutnya, bayaran sudah dibuat kepada beberapa ahli keluarga dan waris penumpang sejak beberapa minggu tanpa melalui proses tuntutan pampasan mengikut prosedur biasa.

“Sehingga ke hari ini, kira-kira RM14.2 juta sudah dibayar kepada waris daripada jumlah pampasan bernilai RM18.7 juta daripada 184 polisi insurans hayat milik mangsa.

“Baki RM4.5 juta itu masih dalam proses berikutan ahli keluarga mangsa belum membuat tuntutan secara rasmi,” katanya dalam kenyataan.

PKS digesa ubah budaya berfikir, berinovasi

SME Corp Malaysia

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu mengubah budaya berfikir mereka dan segera berinovasi ketika mereka bergelut dengan situasi kenaikan kos menjalankan perniagaan di negara ini.

"Banyak PKS yang takut dengan inovasi, kerana merasakan ia akan melibatkan pelaburan besar dalam teknologi. "Dan, ia tidak semestinya benar," kata Pengarah Kanan Bahagian Ekonomi dan Perancangan Dasar SME Corp, Karunajothi Kandasamy.

SME Corp melihat banyak perniagaan kecil gagal menggunakan komputer mereka sendiri untuk menambah baik proses kerja, yang menyebabkan mereka menjadi kurang cekap, katanya.

Selain mengurangkan pembaziran seperti kos overhed, meningkatkan kemahiran kakitangan dan mencari segmen khusus untuk mengelakkan persaingan amat sengit merupakan antara perkara utama yang PKS perlu pertimbangkan, katanya.

Karunajothi berkata demikian semasa perbincangan panel mengenai: "Kenaikan Kos - Bagaimana Perniagaan Boleh Menanganinya?" yang dianjurkan oleh Unit Pengurusan prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), di sini, hari ini.

Ahli panel lain, Timbalan Presiden Persatuan IKS Malaysia Michael Kang berkata PKS perlu bekerja keras untuk memikirkan usaha menambah baik perniagaan mereka dan bukannya menyalahkan persekitaran makro dan faktor-faktor luar ekoran landskap perniagaan yang mencabar.

"Mereka perlu merangka pelan bagi tempoh jangka panjang dan menimbang mengembangkan perniagaan di luar Malaysia," katanya.

Satu kaji selidik oleh SME Corporation Malaysia baru-baru ini mendedahkan bahawa PKS menanggung peningkatan kos bahan mentah dan overhed sejak 2010.  - Bernama