Saturday, 10 May 2014

Huawei lancar telefon pintar hanya berharga RM499

Huawei lancar telefon pintar hanya berharga RM499

Syarikat telekomunikasi Huawei Technologies Co. Ltd menerusi Huawei Malaysia telah mengumumkan secara rasmi bahawa Malaysia akan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang melancarkan telefon pintar terbaru minggu lepas iaitu Huawei Honor 3C.

Apa yang menarik mengenai telefon pintar Huawei ini adalah ia murah dari kebanyakan telefon pintar yang berada di pasaran sekarang ini iaitu hanya berharga RM499, namun mempunyai spesifikasi yang baik berbanding telefon pintar sedia ada.

Telefon pintar Huawei Honor 3C menggunakan cip pemprosesan empat-teras 1.3GHz Mediatek, dan dilengkapi dengan memori 2GB RAM, skrin bersaiz 5 inci, serta mempunyai kamera belakang 8 megapixel manakala kamera hadapan pula 5 megapixel sekaligus ia lebih baik daripada telefon-telefon pintar sedia ada di pasaran yang rata-ratanya mempunyai kamera hadapan 2 megapixel sahaja.

Selain itu, ia juga mempunyai sokongan dwi-sim dan kad MikroSD.

Bagi anda yang berminat untuk membeli telefon pintar Huawei Honor 3C ini juga boleh dibeli menerusi dalam talian di VMall Malaysia iaitu www.vmall.my.

sumber dari : https://my.entertainment.yahoo.com/

Tesco kurangkan harga 300 produk

TESCO  Stores (Malaysia) Sdn Bhd melaburkan RM40 juta untuk mengurangkan harga 300 barangan terpilih di 49 buah cawangannya seluruh negara bagi tempoh setahun, bermula Februari lalu.
Pengurangan harga sehingga 30 peratus itu melibatkan barangan segar dan runcit melalui Kempen Harga Rendah Setiap Hari termasuk musim perayaan, dan kempen itu dijadual berakhir pada Februari 2015.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Georg Fischer berkata, Tesco Malaysia sentiasa melihat sentimen pelanggan mengenai kenaikan kos sara hidup dan menyahut seruan kerajaan dalam membantu meringankan beban pelanggan mereka.

“Pelaburan itu kami bahagikan untuk mengurangkan harga barang yang  kerap digunakan oleh pelanggan.

“Sebagai peneraju peruncitan kami bekerjasama dengan pembekal untuk mencari penyelesaian bersama selain mencari peluang melalui penjimatan kos melalui rantaian bekalan, inisiatif tenaga, kebolehkesanan dan sistem teknologi maklumat dengan akhirnya kami mampu
memberi harga rendah kepada pelanggan,” katanya selepas merasmikan Kempen Harga Rendah Setiap Hari di Tesco Extra Klang, semalam.

Fischer berkata, jenis barangan yang dikurangkan harga dipilih melalui maklum balas lebih sejuta pelanggan Tesco berdasarkan barangan segar dan runcit yang kerap digunakan.

"Ada juga yang memberi maklum balas bahawa pengurangan harga barang di musim perayaan sahaja tidak memadai dalam membantu mereka menjimatkan perbelanjaan harian," katanya.

Menurut Fischer, antara barangan segar dan runcit yang dikurangkan harga ialah ikan tilapia dan cencaru iaitu daripada RM8.99 sekilogram kepada RM5.99 sekilogram dan roti putih ekonomi daripada RM1.79 sebungkus kepada RM1.29.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
Wartawan Sinar Harian

Friday, 9 May 2014

7-Eleven sasar raih RM731 juta

Tan (kiri) dan Hasan semasa pelancaran prospektus 7-Eleven di Kuala Lumpur, semalam.

SYARIKAT  rangkaian kedai serbaneka 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd (7-Eleven) yang dimiliki Kumpulan Berjaya menyasarkan untuk meraih dana RM731.85 juta daripada tawaran awam awalnya (IPO) sempena penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, dijadualkan pada akhir bulan ini.
Sebanyak 530.32 juta saham akan ditawarkan di bawah IPO itu.

Pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan semasa pelancaran prospektus 7-Eleven semalam berkata, beliau yakin terdapat peluang besar untuk 7-Eleven berkembang maju dan gambaran pasaran untuk industri itu amat cerah.

Pelancaran itu disaksikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

"Menurut kajian (pasaran dikendalikan Vital Factor Consulting Sdn Bhd), segmen kedai serbaneka dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan tergabung sembilan peratus dari segi jumlah kedai antara 2013 dan 2018," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut kenyataan itu, sebahagian besar daripada dana tersebut akan digunakan bagi menambah aset 7-Eleven dengan membuka 200 kedai serbaneka baharu dan membantu mengubahsuai kedai sedia ada.

Dana itu juga akan digunakan untuk menaik taraf sistem teknologi maklumat syarikat itu serta pembinaan Pusat Pengedaran Gabungan.

Menurut Tan, 7-Eleven telah membangun menjadi peneraju dominan pasaran tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi merealisasikan potensi sebenar syarikat itu.

"Penyenaraian ini menandakan bab seterusnya dalam pertumbuhan dan pembangunan syarikat," katanya.

7-Eleven dan anak-anak syarikatnya ialah rangkaian kedai serbaneka terbesar di Malaysia dengan 1,583 outlet di seluruh negara setakat 10 April 2014.

sumber dari :  http://www.sinarharian.com.my/