Thursday, 19 November 2015

Tragedi Lintas Jalan, Bayi 15 Bulan Didukung Ibu Saudara Maut Selepas Dirempuh Lori 3 Tan


JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur 15 bulan maut selepas dia dan ibu saudaranya terbabit dalam satu kemalangan semasa melintas jalan berhampiran PPR Sri Stulang di Jalan Bakar Batu-Permas di sini, pagi tadi.

Memetik laporan Harian Metro, semasa kejadian kira-kira jam 10 pagi, Mohammad Qayyum Mohd Saffari dipercayai didukung oleh makciknya, Suhaila Shaharudin, 41, yang merupakan seorang Orang Kurang Upaya Lembam telah melintas jalan sebelum dilanggar lori seberat tiga tan

Kerana rempuhan berkenaan, mangsa tercampak jatuh dan maut dilokasi kejadian kerana cedera parah di kepala manakala Suhaila yang mengalami cedera parah telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Seorang ahli keluarga mangsa ketika ditemui di Unit Forensik HSA di sini, memberitahu mangsa adalah anak bongsu daripada empat beradik. Jenazah dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun Teh di sini.

sumber  - Siakapkeli.my

Derita Bayi 7 Bulan Miliki Usus Diluar


Kuala Lumpur: Tangisannya tanpa suara, pergerakannya pula terbatas termasuk tidak boleh meniarap dan lebih memilukan derita penyakit Large Omphalocele yang menyebabkan ususnya terkeluar sukar digambarkan dengan perkataan. 

Begitulah nasib bayi lelaki berusia tujuh bulan, Muhammad Hafiz Zuharman, yang sejak lahir ‘berumah’ di Unit Rawatan Rapi Pediatrik di Pusat Perubatan Univerisiti Malaya (PPUM). 

Menurut ibunya, Siti Zubaidah Ramli, 33, ketika usia kandungannya enam bulan, doktor mengesahkan bahawa anak tunggalnya itu menghidap penyakit berkenaan.

Saya ke hospital untuk memeriksa jantina anak di dalam kandungan, tetapi jantina Hafiz ketika itu tidak dapat dipastikan berikutan keadaan ususnya yang terkeluar.
 

"Pada April lalu, saya terpaksa melakukan pembedahan kerana tidak dapat melahirkannya secara normal dan sejak tujuh bulan lalu, saya dan suami berulang-alik ke PPUM kerana Hafiz terpaksa ditempatkan di wad," katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.

Menurutnya, Hafiz terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan untuk bernafas dan tiub untuk memasukkan susu ke dalam badannya setiap tiga jam sekali.


“Pada awal kelahirannya saya sangat sedih melihat keadaannya kerana ususnya yang terkeluar hampir sebesar kepalanya, tetapi kini saya perlu kuatkan semangat dan sentiasa berdoa supaya Hafiz segera sembuh,” katanya yang bekerja sebagai kerani, manakala suaminya, Zuharman Che Soh, 33, pekerja kilang.
Siti berkata, Hafiz juga perlu menjalani rawatan fisioterapi kerana usus yang terkeluar dari perut menyebabkan pergerakkannya terbatas. 

"Fisioterapi dibuat untuk Hafiz menggerakkan badannya memandangkan ususnya yang terkeluar menyebabkan dia tidak dapat meniarap dan duduk.

"Hafiz juga susah bernafas serta tidak mengeluarkan suara ketika menangis. Saya risau komplikasi terhadap paru-paru yang boleh menyebabkan dia bisu," katanya.

Menurutnya, kos rawatan penyakit itu tinggi sehingga menyebabkan bil rawatan anaknya tertunggak sebanyak RM30,000, malah Hafiz turut memerlukan mesin seperti alat bantuan pernafasan untuk digunakan jika dia dibenarkan pulang kelak. 

"Pendapatan saya dan suami kurang RM3,000 sebulan. Perbelanjaan Hafiz pula lebih daripada RM5,000 sebulan menyebabkan bil rawatan Hafiz sehingga kini masih tertunggak melebihi RM30,000. “Saya dan suami buntu untuk mencari wang menampung perbelanjaan Hafiz dan bil rawatan yang tertunggak itu,” katanya.

Sesiapa yang mahu membantu boleh menghubungi Zuharman ditalian 011-1995 6074 atau menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB, Zuharman Che Soh di nombor akaun 7616249251.

sumber : mymetro

Penjelasan Yapeim tidak bermakna bagi rakyat


KUALA LUMPUR - Penjelasan yang diberikan oleh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) berhubung dana yang digunakan menteri tidak akan meredakan kemarahan rakyat. 

Ini kerana, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now), Rafizi Ramli persoalan sekarang bukan dari mana wang itu datang sebaliknya ke mana dana itu dibelanjakan. 

Kata Rafizi lagi, sebagai salah sebuah yayasan kebajikan orang miskin, Yapeim mesti sentiasa mengambil pendekatan yang betul. 

Menurutnya lagi, setiap sen yang disumbangkan oleh orang ramai seharusnya disalur terus kepada orang miskin sebelum dibelanjakan oleh Yapeim sendiri. 

Ditanya mengenai tindakan saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Rafizi berkata, itu merupakan hak Jamil Khir untuk mengambil tindakan undang-undang. 

"Apabila yayasan ini dilihat boros dan membelanjakan wang secara berlebih-lebihan. ia sudah jadi soal moral. Sekarang ini, Jamil Khir ingin mengambil jalan mahkamah dan undang-undang, itu hak dia. 

"Tetapi dia masih tidak dapat jawab soal moral yang dikemukakan oleh Akmal (Pengarah Strategi Now, Akmal Nasir) dan juga rakyat," katanya ketika ditemui Sinar Online di pekarangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

Semalam, Sinar Harian melaporkan Yapeim telah mengeluarkan sejumlah RM 453 juta bagi tujuan program pembangunan sosioekonomi dan dalam tempoh tersebut, sumbangan amal jariah melalui skim pemotongan gaji dan skim pemotongan lain hanya berjumlah RM 334 juta. 

Sementara itu, katanya, sejumlah RM 118 juta lagi adalah jumlah penambahan dari Dana Perniagaan Yapeim. 

sumber : sinarharian.com.my/