Saturday 24 May 2014

LKIM peruntuk RM250,000 untuk nelayan di Limbang

Irmohizam melihat udang yang dijual di Pasar Tamu Limbang semasa lawatannya ke Sarawak, semalam. - FOTO: MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk membina pusat pengumpulan ikan (PPI) di Pasar Tamu Limbang, Sarawak selain RM50,000 untuk membaik pulih bumbung tempat letak bot di lapan kampung sekitar Limbang.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Limbang ialah lokasi strategik dalam mewujudkan PPI kerana berhampiran dengan Brunei, dan pusat itu dapat menghapuskan aktiviti orang tengah yang menjadi faktor kenaikan harga ikan.

“Apabila PPI Limbang siap sepenuhnya nanti, ia akan menjadi satu mercu tanda bagi nelayan di kawasan tersebut dan sekali gus membantu menaik taraf ekonomi nelayan di situ.

“Dengan adanya pusat pengumpulan tersebut nelayan boleh terus menjual hasil tangkapan mereka kepada orang ramai tanpa ada campur tangan orang tengah,” katanya selepas melawat perkampungan nelayan sekitar Limbang, Sarawak, semalam.

Irmohizam turut menyeru nelayan di Limbang supaya melakukan transformasi dari segi kegiatan ekonomi mereka seperti mewujudkan perniagaan berasaskan makanan laut dan industri hiliran.

“PPI Limbang kelak akan turut membantu nelayan mengeksport atau mengimport hasil tangkapan mereka mengikut skala dan keupayaan tertentu,” katanya.

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/
Wartawan Sinar Harian

No comments: