Monday 19 May 2014

MyTeksi lancar tempahan menerusi telefon pintar

MyTeksi Sdn Bhd, syarikat tempahan teksi secara dalam talian, melancarkan perkhidmatan GrabCar, yang membolehkan pengguna membuat tempahan perkhidmatan premium limosin melalui telefon pintar masing-masing.

Jenama MyTeksi itu dikenali sebagai GrabTaxi di Singapura, Filipina, Vietnam dan Thailand.

MyTeksi dalam kenyataannya berkata, GrabCar akan beroperasi pada platform aplikasi mudah alih yang sama dengan MyTeksi untuk memudahkan pelanggan membuat tempatan, sama ada teksi atau perkhidmatan limosin.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anthony Tan, berkata keupayaan untuk menyesuaikan diri dan berkembang bagi memenuhi keperluan pengguna, adalah resipi kejayaan MyTeksi di rantau ini.

GrabCar permudah khidmat

“Kami melihat wujudnya peluang untuk mengisi jurang dalam industri menerusi GrabCar, tanpa mengetepikan pengguna teksi yang menjadi teras perniagaan kami. Ia akan memberikan penumpang pengalaman kelas atasan, lebih peribadi, keselamatan dan pengangkutan yang boleh dipercayai,” kata Tan.

Katanya, ada kalanya agak mustahil untuk mendapatkan teksi disebabkan di rantau ini, jumlah permit teksi yang dikeluarkan terhad.

“GrabCar menyediakan lebih banyak kereta di jalan raya kepada mereka yang memerlukannya dan dengan kemasukannya sebagai sebahagian daripada perkhidmatan MyTeksi, ia menawarkan pelanggan akses kepada rangkaian teksi dan limosin yang lebih meluas,” katanya.

Katanya, syarikat itu sedang bekerja sama dengan beberapa syarikat limosin untuk menyediakan rangkaian perkhidmatan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Pelanggan yang enggan menggunakan teksi sebelum ini, kini boleh mempertimbangkan GrabCar yang menyediakan keistimewaan seperti memiliki kereta sendiri tanpa perlu memikirkan masalah tempat letak kereta dan memandu dalam keadaan tertekan, kata kenyataan itu.

Untuk membuat tempahan, penumpang perlu memilih GrabCar sebagai jenis kereta dalam aplikasi MyTeksi dan akan dimaklumkan tambang perlu dibayar sebelum mengesahkan tempahan. - BERNAMA

No comments: