Wednesday 21 May 2014

PKS penyumbang utama KDNK

PERUSAHAAN kecil dan sederhana (PKS) dijangka mampu menyumbang peratusan lebih tinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang disokong pertumbuhan keuntungan syarikat yang lebih kukuh.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp), Datuk Hafsah Hashim berkata, kira-kira 1.2 peratus daripada 6.2 peratus KDNK bagi suku pertama 2014 yang diumumkan Bank Negara Malaysia minggu lalu, turut disumbangkan oleh kejayaan perusahaan kecil dan sederhana seluruh negara.

“PKS memainkan peranan penting dalam merangsangkan pertumbuhan ekonomi negara, sekali gus menyumbang secara purata terhadap pencapaian KDNK negara,” katanya pada majlis pelepasan Program Eksplorasi Media 2014 bersama SME Corp di Kuala Lumpur, semalam.

Program Eksplorasi Media 2014 diadakan bersempena Minggu SME yang bakal dirasmikan Jun depan bertujuan memberi pendedahan kepada media tempatan untuk melihat lebih dekat kejayaan serta sistem pengurusan digunakan PKS, selain menyaksikan impak kejayaan syarikat terhadap bantuan yang disalurkan daripada agensi-agensi kerajaan serta institusi perbankan.

Menurutnya, sehingga kini, SME Corp merekodkan 98.5 peratus adalah syarikat-syarikat PKS yang berdaftar di seluruh negara dengan 88 peratus pembiayaan telah diluluskan oleh institusi perbankan tahun ini berbanding 84 peratus pada 2010.

“Pelbagai bantuan telah disalurkan kepada PKS bagi meningkatkan keupayaan syarikat termasuk daripada segi penjenamaan semula, pembungkusan produk yang lebih menarik selain bantuan kursus kemahiran bagi meningkatkan tahap kecekapan syarikat seterusnya membawa mereka menerokai peluang di pasaran antarabangsa.

“SME Corp sentiasa memantau perkembangan PKS daripada segi pengurusan pentadbiran dan kewangan serta pertumbuhan keuntungan syarikat.

“Menerusi Program Eksplorasi Media 2014 ini, kami juga berharap laporan-laporan media boleh digunakan sebagai salah satu, platform mengenal pasti, kelemahan dihadapi PKS bagi tujuan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Program Eksplorasi Media 2014 akan melawati 11 PKS di 11 negeri di Semenanjung bermula 20 hingga 24 Mei ini.

Antara syarikat terbabit adalah Astra Simfoni Sdn Bhd (Mambau, Negeri Sembilan), Koko, Minda Food Industries Sdn Bhd (Merlimau, Melaka), Global Factory Sdn Bhd (Kuantan, Pahang) dan Ideal Healtcare Sdn Bhd (Sungai Petani, Kedah).

sumber dari : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/

No comments: