Thursday, 18 September 2014

Kenaikan BR1M bukti kerajaan kongsi kekayaan, kata pemimpin Umno

Pemimpin Umno mempertahankan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan menjadi RM950 sebagai bukti Putrajaya berkongsi kekayaan bersama rakyat. Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin berkata kekayaan ekonomi negara perlu dikongsi bersama dengan rakyat dan pemberian BR1M adalah kaedah terbaik jika dibandingkan dengan pemberian subsidi kepada rakyat. "Dalam Dewan Rakyat saya pernah berkata daripada kita beri subsidi minyak, di mana semua orang dapat, orang kaya dan orang luar (bukan rakyat) juga merasai, lebih baik kita beri BR1M.

"Jadi, apabila kita rasionaliasikan subsidi, kita tingkatkan BR1M kepada RM950 supaya rakyat yang kurang mampu menikmati kebaikan ekonomi kita daripada orang luar yang dapat," katanya kepada The Malaysian Insider. Bung, yang juga ahli Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) juga mencadangkan kadar BR1M dinaikkan lebih tinggi hingga RM2,000 dalam usaha meringankan beban rakyat. "Hasrat kerajaan mewujudkan bantuan BR1M melalui pemberian tunai kepada rakyat Malaysia berpendapatan RM4,000 ke bawah untuk mengurangkan kos sara hidup dan bagi saya bantuan ini perlu.

"Saya juga minta kerajaan, mungkin RM950 ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan pemberian subsidi kita, jadi saya bersetuju jika ia ditingkatkan pada masa akan datang," katanya. Pemberian BR1M  diperkenalkan pada 2012 setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-13. Pengkritik menyifatkan pemberian tersebut bertujuan untuk meraih undi, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga tidak bersetuju dengan langkah yang diperkenalkan itu.

Dr Mahathir berkata pemberian tunai secara meluas seperti itu bertujuan untuk jaminan sokongan yang lebih kepada kerajaan. Bagaimanapun Bung menangkis persepsi tersebut dan berkata pemberian tunai tersebut mampu meningkatkan pendapatan dan ekonomi setempat di seluruh negara. "BR1M dapat membantu, contohnya apabila ada pengagihan BR1M bermakna duit itu mereka akan guna beli barang ditempat masing-masing, jadi peruncit, kedai dan peniaga mendapat limpahan BR1M itu.

"Ia sekurang-kurangnya dapat mencetuskan limpahan ekonomi di semua tempat," katanya. Bung berkata, semua pihak mempunyai pandangan sendiri, tetapi suara majoriti yang menyokong BR1M lebih penting. "Semua orang ada pandangan sendiri, tetapi akhirnya kita ambil kira pandangan majoriti," katanya. Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Karang Datuk Seri Noh Omar berkata kerajaan perlu menunaikan janjinya kepada rakyat sebelum ini dan kenaikkan BR1M membuktikan janji ditepati.

"Pengumuman kerajaan bermakna janji ditepati, sebagaimana yang dijanjikan dalam pilihan raya lepas lalu," kata Noh yang juga Ppengerusi Perhubungan Umno Selangor kepada The Malaysian Insider. Mengenai pandangan Dr Mahathir, beliau berkata perkara paling utama adalah kerajaan menunaikan janji sebagaimana dibuat sebelum ini. "Tidak mengapa kalau beliau (Dr Mahathir) kritik, tapi janji kita tetap ditunaikan," katanya.

Bagaimanapun, Noh menggesa kaedah pemberian BR1M dikaji supaya ia berkesan selepas diterima mereka yang layak. "Ia sememangnya dapat membantu rakyat meringankan beban tetapi kaedah pemberian perlu dikaji semula, kerajaan mungkin perlu mengkaji semula kaedah dan meneliti supaya pemberian itu berkesan," katanya.

Sementara itu, pemimpin akar umbi Ramli Mohamad Yunos, yang juga setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena berkata pemberian tunai tersebut tidak banyak memberi kesan politik kepada Umno atau meningkatkan ekonomi rakyat walaupun kerajaan berhasrat untuk membantu. "Daripada segi politik tidak banyak kesan, ekonomi rakyat juga tidak membantu," katanya. Ramli berkata, rakyat tidak mempersoalkan pemberian tersebut kerana tidak mengetahui bebanan hutang yang perlu ditanggung kerajaan.

"Rakyat terima walaupun ramai yang tahu kerajaan juga tidak ada duit, hutang tinggi," katanya. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada Julai lalu berkata prestasi kewangan bagi kerajaan persekutuan masih lagi lemah dengan pendapatan rendah bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini dan hutang meningkat melebihi tahap siling.

Pengarah Eksekutif MIER Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, berdasarkan prospek ekonomi Malaysia, hutang bagi kerajaan persekutuan meningkat melebihi tahap siling iaitu 55%. Jumlah hutang kerajaan persekutuan bagi suku tahun pertama tahun ini ialah pada RM560.6 bilion. Mengenai kritikan oleh Dr Mahathir, Ramli berkata bekas perdana menteri tersebut juga membuat pembaziran dengan pembinaan beberapa projek mega lain.

"Saya bukan sokong Tun kerana masa pentadbiran beliau, pembaziran cara lain pula seperti pembinaan KLCC, Litar Sepang dan sebagainya," katanya. Agihan BR1M 1.0 kepada golongan yang layak mula dilaksanakan kerajaan pada 2012. Bagi BR1M 2.0 yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013, bantuan tunai RM500 diberi kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan, sementara individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan RM250.

Sejumlah RM4.6 bilion diperuntukkan kepada 7.9 juta rakyat Malaysia menerima BR1M yang Najib mulakan 3 tahun lalu sebagai langkah untuk membantu 40% rakyat Malaysia. Baru-baru ini, Najib sekali lagi mengumumkan kenaikkan BR1M 3.0 kepada mereka yang layak menerima bantuan wang tunai tersebut. – 18 September, 2014.

sumber : https://my.news.yahoo.com/

No comments: