KUALA LUMPUR - Akaun bank isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah
Mansor disahkan sedang disiasat oleh pasukan petugas khas siasatan
berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan bersama, Peguam Negara,
Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zetti Akhtar
Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua
Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim
Mohamed, hari ini.
"Selanjutnya berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri
perdana menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh Pasukan
Petugas Khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang
dikendalikan," katanya.
Menurut kenyataan itu, segala pendedahan berkaitan 1MDB dalam media dipandang serius oleh pasukan petugas khas.
"Berhubung pendedahan dalam media yang dikaitkan dengan isu1MDB, semua
pendedahan itu dipandang serius oleh Pasukan Petugas Khas dan siasatan
akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang berkenaan.
"Pasukan Petugas Khas juga ingin menegaskan bahawa siasatan berhubung
isu 1MDB dijalankan dengan telus, bebas dan profesional," katanya.
Dalam pada itu, pihak pasukan petugas khas meminta agar semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan mereka.
"Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas berharap semua pihak tidak
mempersoalkan kewibawaan Bank Negara, polis dan SPRM dalam
mengendalikan tugas dan fungsi dalam siasatan ini," katanya.
sumber : http://www.sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment