Sunday 21 February 2016

Bapa Berang Tikam Anak Hingga Mati

BUDAK lelaki berusia lapan tahun mati ditikam bapanya di rumah mereka di Kampung Melampoi, Nabawan dekat Keningau, Khamis lalu.

KENINGAU – Gara-gara berang setelah isterinya meminta wang belanja dapur, seorang lelaki sanggup menikam anak lelakinya yang berusia lapan tahun sehingga mati dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Melampoi, Nabawan dekat sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi itu, anak lelaki suspek dikenali Rojas Jonvin, 8, meninggal dunia akibat ditikam beberapa kali pada leher, dada dan belakang.

Suspek yang merupakan warga Filipina turut menikam isterinya, Edwena Doca, 49, dengan menggunakan sebilah pisau hingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan parah pada perut.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berpunca daripada tindakan suspek yang marah selepas isterinya meminta duit untuk belanja barangan dapur.

Katanya, suspek yang berusia 39 tahun telah mengejutkan anak lelakinya yang sedang tidur sebelum menikam mangsa di bahagian belakang menggunakan sebilah pisau.

“Selepas itu berlaku pergelutan antara suspek dan isterinya menyebabkan wanita berkenaan turut ditikam pada perut.

“Bagaimanapun, isteri suspek sempat menyelamatkan diri dan meminta bantuan daripada jiran,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

sumber : kosmo.com.my/

No comments: