KUANTAN, 19 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari
ini bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi
pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
Menurut Najib, dia bukan seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya.
"Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang
dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya
bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan
sebaik-baiknya.
"Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini
(Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak
ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa.
"Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya
tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat
saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya di majlis Himpunan Solidariti yang berlangsung hari ini.
Selain itu, Najib juga percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada
kerajaan jika kerajaan bekerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah
diri.
"Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata
yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa
dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau
Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.
"Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak
kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita
boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya,
kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya.
Perdana Menteri juga mengingatkan masyarakat agar tidak mudah
terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana
itu lebih kepada politik persepsi.
Di majlis tersebut, Najib turut melahirkan rasa gembira dengan agenda
perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di
landasan yang ditetapkan.
"Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu
kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak
ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan
yang dipilih oleh rakyat," katanya sebagaiman lapor Bernama.
Beliau berkata, rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang
mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit
merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat. - Siakapkeli.my
No comments:
Post a Comment