KUALA LUMPUR - Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz hari ini mengingatkan biarpun ringgit telah melepasi fasa
pelarasannya, namun ia masih terdedah kepada kelemahan berterusan
berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Kelemahan ringgit sejak September 2014 sudah melepasi paras dalam episod pelarasan ketara sebelum ini.
"Unit tempatan itu ternyata melebihi jangkauan kebanyakan mata wang
serantau lain sejak akhir September 2015," katanya pada sidang media
bersempena pengumuman Laporan Tahunan BNM 2015, di sini.
Ditanya sama ada ringgit akan terus mengukuh ke paras RM3.80 pada tahun
ini, Zeti menegaskan bahawa bank pusat itu tidak mengunjurkan sebarang
paras bagi kadar tukaran berkenaan.
"Namun, apa yang kita unjurkan adalah dari segi kelemahannya.
"Inilah sebabnya mengapa kita meliberalisasikan banyak pertumbuhan
tadbiran tukaran supaya syarikat-syarikat serta isi rumah dapat
menguruskan pendedahan mereka dengan lebih baik," kata gabenor berusia
69 tahun yang bakal bersara pada April ini.
Ringgit terus mengukuh apabila ditutup tinggi berbanding dolar AS hari
ini kepada 3.9910/9960 daripada 4.0050/0100 semalam. Malah, ia turut
mencecah paras 3.9597 pada pagi ini.
Prestasi ringgit itu dikaitkan dengan peningkatan keyakinan para
pelabur susulan pemulihan harga minyak mentah kepada lebih AS$40 setong
yang menyaksikan unit tempatan itu naik kepada paras di bawah 4.0
berbanding dolar AS.
Seorang peniaga, berkata ringgit mengatasi prestasi kebanyakan mata
wang serantau serta menjadi paras bulanan terbaik sejak 1998.
Zeti turut menyifatkan pengukuhan semasa ringgit terutamanya disebabkan
oleh pengaliran masuk dana asing dan perkembangan itu akan dipantau
rapat oleh pihak BNM.
"Apa yang kita mahu lihat adalah aspek aliran pendasarnya.
"Selagi persekitaran luaran itu baik, ekonomi terus berkembang dan
sistem kewangan kukuh serta lancar, kita boleh menjangkakan semua asas
ini dapat menyokong pendasar bagi pengukuhan ringgit," katanya.
Mengulas prospek ekonomi Malaysia, beliau berkata ia akan berkembang
antara 4 hingga 4.5 peratus pada 2016 yang dipacu permintaan domestik.
Zeti turut menjangkakan semua sektor ekonomi, kecuali pertanian, akan
berkembang manakala sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal menjadi
penggerak utama pertumbuhan secara keseluruhannya.
Menurutnya, perbelanjaan pengguna akan dijejaskan faktor seperti
kenaikan harga serta ketidaktentuan yang ketara namun akan terus
disokong pertumbuhan pendapatan dan pekerjaan.
Zeti juga memberi jaminan bahawa kestabilan kewangan negara tahun ini
terus lancar manakala institusi kewangan dapat mengekalkan aspek
pemodalan dengan penimbal mudah tunai yang mencukupi serta mencatat
keuntungan.
"Lebihan mudah tunai sistem perbankan kekal tinggi pada RM178.3 bilion setakat Januari 2016.
"Ekonomi negara juga terus berdaya saing dengan kemampuan menguruskan
risiko yang boleh menjejaskan pertumbuhan," katanya. - Bernama/sinarharian.com.my/
No comments:
Post a Comment