Tuesday, 22 March 2016

Tukang Jahit Kelar, Tikam Isteri


JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki trauma menyaksikan bagaimana ibunya mati dikelar dan ditikam oleh bapanya selepas pasangan itu bergaduh dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Ulu Pandan, Kangkar Tebrau di sini kelmarin.

Sebelum kejadian pada pukul 10 pagi itu, mangsa, Noraini Abdul Rahim, 43, dan suami­nya yang berusia 35 tahun dikatakan bertengkar. Turut berada di rumah pada hari tersebut ialah anak lelaki pasangan itu yang berusia lima tahun.

Pasangan itu bekerja sebagai tukang jahit. Anak sulung mereka tiada di rumah kerana bersekolah.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, semasa bertengkaran itu, suspek didakwa bertindak mengelar leher selain menikam badan mangsa dipercayai menggunakan gun­ting dan pisau.

Menurut beliau, anak bongsu pasangan itu yang dikatakan menyaksikan tragedi ngeri tersebut memberitahu ibu dan ayahnya bertengkar sebelum ayahnya didakwa menikam ibunya menggunakan gunting.

Katanya, kematian mangsa hanya disedari kira-kira empat jam selepas kejadian iaitu selepas anak perempuan pasangan itu yang berusia sembilan tahun pulang dari sekolah.

“Anak sulung pasa­ngan itu, terkejut apabila menemui ibunya dalam keadaan tertia­rap dengan berlumuran darah di ruang tamu rumah manakala adik lelakinya pula dikatakan dalam keadaan trauma dengan duduk di dalam rumah tanpa berkata-kata,” katanya.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga sejak 10 tahun lalu dan mereka tinggal di rumah sewa tersebut sejak dua tahun lepas.

Sulaiman membe­ritahu, anak pasangan itu kemudian membawa adik lelakinya ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 20 meter dari rumah sewanya dan memaklumkan tentang kejadian itu.

Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa menemui kesan kelaran pada leher dan badannya selain kesan tikaman pada dada kiri dan bahagian belakang badan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk dibedah siasat.

Susulan itu, Sulaiman berkata, polis berjaya mengesan suspek dan memberkasnya kira-kira pukul 3 petang di Jalan Padi Mahsuri 1, Bandar Baru Uda di sini pada hari sama.

sumber : kosmo.com.my/





No comments: